Penyokong Warisan berdiri teguh di belakang Shafie  


Jason Santos

Sebahagian daripada penyokong Shafie Apdal hadir di perkarangan mahkamah Kota Kinabalu untuk memberi sokongan kepada presiden Warisan itu. – Gambar The Malaysian Insight, 20 Oktober, 2017.

“PADA hari Najib (Razak) menggugurkan Shafie (Apdal) daripada Umno, ia adalah hari yang mana saya sedar betapa kecilnya Najib menghargai Sabah.”

Itu kata-kata Imran Muksin, 52 tahun, yang turut hadir ke Mahkamah Kota Kinabalu untuk melihat presiden Warisan yang sudah dijangka akan ditahan reman hari ini. 

Imran tiba bersama lima lagi yang lain dari Batu Sapi, Sandakan sejak semalam di mana dia dilihat muncul di mahkamah hari ini. 

Sandakan terletak 300 kilometer dari Kota Kinabalu, atau kira-kira 7 jam perjalanan dengan memandu menerusi Ranau. 

Imran merupakan bekas ahli Umno sejak 1991 dan merupakan penyokong kuat Shafie. 

Beliau meninggalkan Umno sebaik sahaja Shafie melakukan perkara yang sama pada Jun tahun lalu.

Ketika Shafie menubuhkan Warisan bersama Darell Leiking, beliau juga tahu yang beliau perlu mengikut jejak langkah pemimpin yang dihormatinya itu. 

Beliau terkejut dengan perjuangan yang dibawa oleh parti itu.

“Warisan bukan paarti berdasarkan kaum yang dimainkan kebanyakan parti politik di Sabah. Warisan memperjuangkan bangsa Sabah, sebuah negeri yang mana penduduk dari pelbagai latar belakang bersatu. 

“Sebuah parti yang adil kepada semua bangsa lain,” katanya. 

Penaja Umno Sabah dimulakan pada tahun 1991. Ia hanya menjadi parti penuh pada 1995, berikutan pembubaran Usno.

Imran ditemui dalam kalangan lebih 200 orang penyokong untuk bersama-sama memberi sokongan kepada Shafie dan Warisan walaupun cuaca hujan. 

Imran juga turut berada di lapangan terbang pada Khamis untuk mengalu-alukan ketibaan Shafie dari Kuala Lumpur dan terus ke pejabat SPRM di Jalan Sulaman di Kota Kinabalu. 

Dia dan rakannya juga muncul di mahkamah sejak jam 8 pagi sehinggalah diberitahu permohonan reman Shafie akan dibuat sekitar jam 2.30 petang.

Imran sekali lagi muncul bersama yang lain selepas solat Jumaat.  

Rakannya, Aris Malayu, 55 tahun dari Libaran turut menyertai Warisan kerana Shafie mengetuai parti itu. 

“Shafie memang pemimpin yang baik. Beliau mengambil cakna mereka dalam kawasannya dan penyokongnya. 

“Saya bersama jawatankuasa Umno Libaran selama lima tahun, tapi saya sanggup meninggalkannya kerana saya percaya dengan kepimpinan Shafie,” jelas Aris yang berketurunan Bajau. 

Ditanya sekiranya pemimpin Warisan itu disabitkan kesalahan dan Leiking akan mengambil alih, katanya beliau tiada masalah dengan Leiking, pemimpin Kadazandusun.

“Parti bukanlah tentang siapa yang mengetuai dan apa kaum yang dominan.

“Walaupun Shafie tiada. Kami tidak ada masalah dengan KDM mengetuai kami selagi individu berkenaan adil dan boleh dipercayai,” katanya. 

Bekas penyokong Keadilan Richard Sylvester, 40 tahun, berkata, beliau menyertai Warisan kerana hanya ia parti yang memahami kehendak rakyat Sabah. 

 Katanya, ia juga merupakan parti pertama yang disertainya tidak menjadikan agama dan kaum sebagai halangan. 

“Saya bimbang dengan masa depan anak-anak dan Warisan dilihat mempunyai jawapan untuk mendapatkan semula hak negeri Sabah. 

“Kami mahu hak ini dikembalikan jika tidak anak-anak kami akan merempat di bumi mereka sendiri apabila dewasa,” katanya. 

Lebih 200 orang penyokong Warisan meredah hujan dan angin kuat untuk bertemu dengan Shafie di mahkamah Kota Kinabalu.  – 20 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen