Lowyat siar artikel selepas 'tiada maklum balas dari SKMM'


Melati A. Jalil

Maklumat yang digunakan dalam artikel itu diambil dari posting 'penjual', yang menunjukkan sampel apa yang dia tawarkan untuk jualan. – Gambar EPA, 20 Oktober, 2017.

FORUM dalam talian Lowyat.net semalam menyiarkan artikel berhubung kecurian data besar-besaran selepas penguatkuasa internet dalam negara tidak memberi sebarang maklum balas berhubung perkara itu, kata pengasasnya Vijandren Ramadass.

Katanya, pihaknya sudah memaklumkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) selepas menyedari posting “penjual” yang secara agresif mempromosikan jualan data terbabit pada petang Rabu. 

“Penjual itu bagaimanapun membuka banyak akaun, dan cuba menjual data. Kami terpaksa membuangnya banyak kali kerana penjual itu membuka banyak akaun, dengan banyak emel dan alamat IP baru. 

“Kerana kami tidak mendapat maklum balas daripada SKMM, kami menyiarkan artikel yang mengetengahkan pelanggaran itu berdasarkan maklumat yang dinaikkan penjual dalam talian. Kami juga percaya dia turut membuat iklan yang sama pada medium dalam talian yang lain. 

“Artikel yang kami siarkan juga megandungi amaran bahawa adalah satu kesalahan utnuk menjual atau membeli data,” katanya kepada The Malaysian Insight. 

Katanya semua maklumat mengenai akaun itu sudah diserahkan kepada SKMM pada pagi Khamis, sebelum artikel itu disiarkan. 

Tambahnya, maklumat yang digunakan dalam artikel itu diambil dari posting ‘penjual’, yang menunjukkan sampel apa yang dia tawarkan untuk jualan. 

“Sampel itu sahaja (yang berjumlah sekitar 150,000 baris maklumat) dimuat naik oleh penjual menerusi Google Drive. Data penuh menurut posting itu mempunyai 50 juta baris data.

“Sampel telco yang dibekalkannya mengandungi 100,000 rekod nombor telefon antara 60102000065 hingga 601125073965. 

“Kami membuat pemeriksaan silang ke atas nama pada sampel data itu dengan posting Facebook dan mendapati lokasi dalam data itu sama dengan profil Facebook pengguna,” katanya. 

SKMM semalam meminta Lowyat untuk mengeluarkan berita pelanggaran data besar-besaran membabitkan jutaan pengguna, yang dianggarkan berlaku pada 2012 dan 2015. 

SKMM dalam satu kenyataanya hari ini berkata suruhanjaya itu dan polis sedang menjalankan siasatan berhubung perkara itu dan meminta masyarakat agar tidak membuat spekulasi sehingga siasatan selesai. 

“SKMM bersama pihak PDRM sedang menyiasat laporan bahawa terdapat pengiklanan untuk menjual data pengguna yang disyaki diperolehi secara tidak sah.

“Sebagai langkah pencegahan, pihak SKMM telah meminta pentadbir laman sesawang lowyat.net untuk menurunkan iklan penjualan tersebut. Pentadbir laman sesawang tersebut telah memberi kerja sama menurunkan iklan serta artikel yang berkaitan.”

Terdahulu, Lawyers for Liberty menyelar SKMM kerana menjadi tidak demokratik dan melanggar jaminan kerajaan untuk tidak menapis internet.

Lowyat semalam berkata, laporan menyebut maklumat peribadi rakyat Malaysia, diambil dari Jobstreet.com, Persatuan Perubatan Malaysia dan pemohonan pinjaman perumahan rakyat Malaysia, antara lain, dijual kepada bitcoins sejak semalam di forum miliknya. 

Katanya, data utama adalah data pelanggan daripads syarikat telekomunikasi termasuk Celcom, DiGi, Maxis, Tune Talk dan Umobile. 

Artikel itu menyebut insiden ini boleh jadi satu daripada pelanggaran data yang terbesar dalam sejarah Malaysia. – 20 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen