PAS tidak merancang menawarkan jawatan exco kepada Umno dalam kerajaan Kelantan dan Terengganu kerana kuota sudah penuh, kata Timbalan Presidennya Tuan Ibrahim Tuan Man.
Beliau berkata ketika ini, hanya memadai wakil rakyat Umno menjadi penyokong kerajaan negeri yang ditadbir PAS.
“Tidak (bagi jawatan), ia berjalan seperti mana ada sekarang, cuma Umno tidak ada lagi dalam pembangkang.
“Sebab sebenarnya, dari segi pelantikan dah penuh (exco) tapi yang penting kerjasama, ia menggambarkan permuafakatan berjalan,” katanya kepada wartawan di lobi Parlimen, hari ini.
Beliau turut mengakui Perlis ada menawarkan jawatan exco kepada PAS namun mereka menolak atas semangat mahu hanya menjadi penyokong kerajaan.
“Perlis ada tawar sebab mereka ada kekosongan kita tak terima cadangan tersebut namun akan bersama kerajaan (negeri),” katanya.
Namun begitu, ia tidak bermaksud PAS mengenepikan rancangan pelantikan tersebut.
Jelasnya, ia boleh dibuat seperti di Terengganu yang melantik wakil Umno di beberapa buah agensi kerajaan negeri.
“Terengganu ada menawarkan jawatan kepada wakil Umno namun tidak melibatkan jawatan exco sebaliknya sebaliknya di agensi kerajaan,” katanya.
Beliau mengulas kenyataan Presiden Umno Dr Ahmad Zahid Hamidi membayangkan harapan agar wakil rakyat mereka diberi ruang untuk berada dalam kerajaan negeri Terengganu pimpinan PAS.
Zahid turut mencadangkan Adun Kijal Ahmad Said dan Adun Seberang Takir Ahmad Razif Abd Rahman yang merupakan bekas menteri Terengganu menyertai kerajaan negeri.
Umno dan PAS memeterai kerjasama politik menerusi Piagam Muafakat Nasional.
Presiden PAS Abdul Hadi Awang sebelum ini pernah membuat kenyataan parti itu mempunyai rancangan untuk memasukkan Umno menjadi sebahagian pentadbiran kerajaan Terengganu dan Kelantan yang kini diperintah PAS. – 29 Oktober, 2019.
Komen