2 Adun DAP disyaki terlibat LTTE akan didakwa esok


Alfian Z.M. Tahir

Ahli Parlimen Gelugor Ramkarpal Singh mengesahkan Adun Seremban Jaya P Gunasekaran dan Adun Gadek G Saminathan adalah antara individu yang akan dibawa ke mahkamah esok. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Oktober, 2019.

DUA Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) DAP yang ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) kerana disyaki mempromosi  kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) dijangka dituduh di mahkamah esok.

Ahli Parlimen Gelugor Ramkarpal Singh yang mewakili mereka mengesahkan Adun Seremban Jaya P. Gunasekaran dan Adun Gadek G. Saminathan adalah antara individu yang akan dibawa ke mahkamah.

“Empat lelaki termasuk dua Adun DAP akan dibawa ke mahkamah esok. Mereka memfailkan permohonan habeas corpus di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Selasa lalu,” kata Ramkarpal.

Dua lagi individu yang akan dituduh di mahkamah esok adalah V. Suresh Kumar dan CEO Green Technology Corporation S. Chandru.

Ramkarpal berkata beliau tidak pasti mengenai status seorang lagi tahanan yang memfailkan habeas corpus, Arivainthan Subramaniam.

“Saya tidak pasti mengenai dia (Arivainthan Subramaniam),” tambah beliau yang mewakili kelima-lima tahanan.

Adun Seremban Jaya P. Gunasekaran dan Adun Gadek G. Saminathan  dijangka akan didakwa bersama V. Suresh Kumar dan S. Chandru. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Oktober, 2019.

Pada 10 Oktober, Bahagian Anti Keganasan (E8) Cawangan Khas Bukit Aman menahan tujuh suspek yang didakwa mempromosi, menyokong, dan menyalurkan dan memiliki bahan yang berkaitan dengan LTTE.

Dua hari kemudian, polis menahan lima lagi lelaki atas kesalahan sama, menjadikan jumlah mereka yang ditahan adalah 12 orang.

Mereka ditahan di Selangor, Perak, Kedah, Negri Sembilan, Melaka dan Kuala Lumpur.

Selasa lalu, lima daripada 12 tahanan itu - G. Saminathan, P.Gunasekaran, Chandru Suparmaniam, Suresh Kumar Velayuthan and Arivainthan Subramaniam - membuat permohonan habeas corpus di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk mencabar penahanan mereka di bawah Sosma. 

Kelima-lima pemohon mengesahkan bahawa mereka bukan sebahagian daripada LTTE, dan menafikan cuba menghidupkan semula kumpulan pengganas.

Mahkamah Tinggi pada Khamis lalu menetapkan 31 Oktober untuk pendengaran kes.

Habeas corpus adalah satu tuntutan undang-undang bagi mereka yang ditahan untuk membela kes mereka di hadapan seorang hakim melainkan jika pihak berkuasa dapat membuktikan alasan yang sah untuk penangkapan mereka.  – 28 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen