KESATUAN Kebangsaan Anak Kapal Kabin Penerbangan Malaysia (Nufam) mendesak Khazanah Nasional Berhad agar menarik balik pengurusannya terhadap Malaysia Airlines (MAS).
Menurut Presidennya Ismail Nasaruddin, penukaran pihak pengurusan di Khazanah Nasional perlu dilakukan dan Khazanah perlu bertanggungjawab sepenuhnya ke atas krisis dalaman MAS terutamanya selepas tiga Ketua Pegawai Eksekutif syarikat penerbangan itu meletak jawatan dalam masa tiga tahun.
“Khazanah Nasional tidak tahu bagaimana untuk menjalankan operasi syarikat penerbangan itu, mereka pandai memberi arahan dan menggunakan nama kerajaan untuk menolak beberapa perubahan dalaman syarikat.
“Cukup-cukuplah di sini. Sudah lama sangat Khazanah Nasional mengurus MAS. Sampai hari ini tak berhenti masalah,” katanya dalam satu sidang media di Petaling Jaya hari ini.
Pihaknya juga mempersoalkan mengenai peletakan jawatan mengejut CEO MAS yang terbaharu Peter Bellew dua hari lalu, sama ada Khazanah Nasional benar-benar tidak tahu-menahu mengenai peletakan jawatan tersebut. – 20 Oktober, 2017.
Komen