WONG Kan Ye, graduan Universiti Malaya (UM) yang membuat protes di pentas majlis konvokesyen universiti itu baru-baru ini, gagal untuk mengadakan perjumpaan dengan Naib Canselor Abdul Rahim Hashim.
Wong, selepas menerima skrol ijazahnya pada 14 Oktober lalu, menayangkan plakad tertulis tuntutan supaya Abdul Rahim meletak jawatan atas dakwaan membuat ucapan berbaur perkauman pada Kongres Maruah Melayu awal bulan ini.
Graduan itu berkata beliau beberapa kali meminta untuk mengadakan pertemuan dengan Abdul Rahim tetapi tidak berjaya.
“Sudah dua kali saya minta untuk berjumpa untuk menjernihkan keadaan, dan permintaan saya beberapa kali saya sebutkan semasa ditemu bual media.
“Tetapi, permintaan saya tidak dilayan,” kata graduan berasal dari Pulau Pinang itu.
Tindakan Wong pada majlis konvokesyen UM itu dikecam penuntut universiti terbabit yang menggesa supaya ijazahnya ditarik kerana biadap.
UM juga membuat laporan polis terhadap Wong sehari selepas insiden itu.
Graduan kejuruteraan awam berusia 23 tahun itu menggesa lembaga pengarah UM menarik balik laporan polis tersebut jika universiti itu benar-benat menghormati hak kebebasan bersuara seperti yang disebut dalam kenyataannya pada 15 Oktober.
Susulan laporan itu, Wong dipanggil untuk memberi keterangan.
Ketika berucap pada Kongres Maruah Melayu, Rahim didakwa berkata perubahan kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 menghapuskan dominasi politik Melayu sehingga menyebabkan hak keistimewaan orang Melayu dipersoalkan.
Rahim juga didakwa memberi amaran kepada semua pihak supaya tidak mencabar kontrak sosial.
Wong berkata jalan terbaik bagi kedua-dua pihak menjelaskan keadaan adalah dengan mengadakan pertemuan.
TMI cuba untuk mendapatkan komen dari Rahim tetapi tidak berjaya. – 28 Oktober, 2019.
Komen