Pakatan tertipu umum calon PRK hari ini, kata BN


SM Amin

Ketua Bahagian Bersatu Tanjung Piai Karmaine Sardini (bertopi) dipilih sebagai calon untuk mempertahankan kerusi Parlimen kawasan itu dalam PRK bulan depan. – Gambar The Malaysian Insight, 28 Oktober, 2019.

BN berjaya memperdaya lawan dengan membatalkan pengumuman calon untuk PRK Tanjung Piai hari ini, dakwa pengerusi BN Johor Hasni Mohammad.

Hasni ketika mengumumkan pembatalan tersebut mendakwa, ia sememangnya sebahagian daripada strategi parti untuk mengelirukan PH.

Hasilnya, PH terpedaya dan mengumumkan calonnya Karmaine Sardini sebagai calon walaupun pada awal merancang untuk untuk mengumumkan calon ada 30 Oktober.

“Dia kata hendak umum calon pada 30 Oktober tetapi bila dengar kita hendak umum calon 28 Oktober jam 4 petang, dia umum dulu jam 2 petang.

“Jadi dia tertewas, kita tidak akan umum pada hari ini. Sebelah sana (PH) tertipu dengan kita.

“Kita kena bijak, kena ada strategi yang betul. Calon mereka 66 tahun. Saya harap kita jangan ada PRK lagi. Penat,” katanya sewaktu melancarkan jentera BN di Pontian petang ini.

Beliau sepatutnya mengumumkan calon BN sewaktu majlis tersebut yang diadakan di Bangunan Umno Pontian.

Namun hanya PH yang mengumumkan calonnya, Karmaine Sardini dalam majlis di Dewan Hai Kee, juga di Pontian.

Sementara itu, Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi dalam ucapannya berkata beliau menyerahkan mandat kepada Hasni untuk mengumumkan calon parti berkenaan pada masa sesuai.

Zahid berkata, keputusan untuk tidak mengumumkan calon hari ini juga dibuat setelah berbincang dengan Presiden MCA Wee Ka Siong.

“Calon ini juga anak tempatan tetapi Hasni arahkan saya jangan umumkan calon hari ini. Presiden MCA juga bisik dekat saya jangan umum dahulu.

“Saya sudah bincang dengan Wee, saya ingin mengumumkan bahawa kami memberi kuasa kepada Hasni untuk mengumumkannya dalam waktu yang paling sesuai.

“Mudah-mudahan beliau tidak mengambil masa yang terlalu lama,” katanya.

MCA difahamkan berhasrat agar pemimpin parti itu, Wee Jeck Seng diperturunkan sebagai calon untuk merampas kerusi parti berkenaan, yang mempunyai 42% pengundi Cina.

Namun terdapat juga kalangan pemimpin Umno yang mendesak agar kerusi majoriti Melayu tersebut ditandingi calon parti berkenaan.

Malah PAS juga sudah memberi lampu hijau dan tidak bertanding bagi mengelak pertandingan tiga penjuru berkenaan.

PRK Parlimen Tanjung Piai diadakan selepas penyandangnya, Dr Md Farid Mr Rafik meninggal dunia pada 21 September lalu akibat komplikasi jantung. – 28 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen