Ada cubaan khianat halang saya jadi PM, kata Anwar


Alfian Z.M. Tahir

Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata, beliau akan menumpukan pada usaha untuk memperkukuhkan ekonomi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 28 Oktober, 2019.

ANWAR Ibrahim hari ini mengakui ada “percubaan khianat” untuk menghalangnya dari menggantikan Dr Mahathir Mohamad dan menjadi perdana menteri.

Presiden PKR memberitahu konvensyen parti Sabah bahawa beliau tidak akan terganggu dengan masalah itu tetapi akan menumpukan pada usaha untuk memperkukuhkan ekonomi.

“Mari kita beri tumpuan pada ekonomi. Saya tidak suka orang bertanya mengenai peralihan kuasa tetapi masalahnya ada ramai orang yang tak setia.

“Bagi saya, sudah ada persetujuan (peralihan). Untuk kata saya tak sabar, saya telah menunggu selama 20 tahun.

“Tidak ada masalah untuk saya. Jika Allah kata ia akan berlaku, ia akan berlaku,” kata Ahli Parlimen Port Dickson berkenaan. 

Anwar bagaimanapun tidak menyebut nama di sebalik percubaan untuk menghentikannya daripada menjadi perdana menteri.

Majlis Presiden Pakatan Harapan telah bersetuju sebulat suara bahawa Dr Mahathir akan menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Anwar tetapi tidak ada kerangka waktu yang ditetapkan.

Timbalan Presiden PKR Azmin Ali baru-baru ini menyatakan secara terbuka bahawa Dr Mahathir perlu menyelesaikan tempoh lima tahunnya sebagai perdana menteri dan tidak ada persetujuan mengenai peralihan kuasa.

Terdapat juga laporan bahawa bekas naib presiden Umno Hishamuddin Hussein cuba membawa 30 ahli Parlimen Barisan Nasional untuk menyokong Dr Mahathir tetapi ahli Parlimen Sembrong menafikan dakwaan tersebut. – 28 Oktober, 2019.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen