Era ekonomi gig dan industri media merudum


Zainal Rashid Ahmad

DI negara kita, ekonomi gig bukan trend. Segmen ini berkembang pesat kerana peluang pekerjaan kerajaan sangat terhad serta pertumbuhan sektor swasta yang perlahan sejak 2013.

Ekonomi gig atau pekerjaan berasaskan digital tanpa majikan ini, menyeret pertumbuhan lebih 123% dalam tempoh sembilan tahun. Hari ini 1.7 juta anak muda terlibat dalam kerjaya berasaskan ekonomi gig.

Sama ada pemandu e-hailing, penghantar makanan atau penghantar tempahan, kerjaya berasaskan trend digital ini menyumbang lebih 10% peluang pekerjaan dalam total hampir 15 juta pekerja di negara ini.

Anak muda hari ini tidak lagi berminat pada tawaran kerjaya secara kontrak jangka pendek. Malah, berasa teraniaya bergelar profesional dengan gaji pokok antara RM1,500 hingga RM2,000.

Tawaran kerjaya kontrak dengan gaji rendah serta ketiadaan faedah perubatan dan manfaat tambahan menyebabkan platform ekonomi gig jadi pilihan.

Menurut Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF), golongan yang bekerja sendiri secara bebas atau istilahnya “freelance” meningkat kira-kira 123.68% dalam tempoh sembilan tahun.

“Platform ekonomi gig kini disertai 1.7 juta pekerja berbanding 760,000 pada 2010,” kata Pengarah Eksekutif MEF, Shamsuddin Bardan.

Angka ini dijangka melepasi 2 juta pekerja akhir suku pertama tahun depan. Satu tanggapan mudah kerana kadar pengangguran kekal tinggi dan keperlahanan ekonomi semasa akan terus membekukan tawaran pekerjaan baharu.

Realiti ini diburukkan lagi dengan jangkaan 30 ribu pekerja ditamatkan khidmat tahun ini. Laporan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) mendapati, sehingga September tahun ini, 24,600 pekerja diberhentikan.

Kadar pengangguran pula 3.4% dengan 523,300 orang gagal mendapatkan pekerjaan.

Bagi yang berada dalam kawasan urban dan terdedah pada potensi ekonomi gig, platform ini satu-satunya pasaran kerja yang pesat berkembang.

“Ada 60 ribu pemandu e-hailing tetapi sejak 1 Oktober lalu, angka pemandu di jalan berkurangan kerana ramai yang belum menyelesaikan pemeriksaan Puspakom,” kata Khairul Anuar Khosri.

Setahun bekerja sebagai pemandu e-hailing, Khairul Anuar peka pada semua perkembangan berkaitan kerjaya baharunya.

Setelah menutup perniagaan di Kampung Bharu September tahun lalu, pada usia 43 tahun, anak Johor ini menyertai ekonomi gig sebagai pemandu.

Khairul Anuar menyertai e-hailing kerana tiada pilihan setelah 21 tahun menjadi tukang jahit dan penjual pakaian terpakai.

Kos sewa kedai di Jalan Abdul Rahman Idris, Kampung Bharu terus meningkat setiap kali memperbaharui kontrak.

Sewa terkini RM2 ribu sebulan tidak lagi berbaloi berbanding kemerosotan pendapatan yang dialami bulan ke bulan sejak 2013.

Mohd Zikri Ali, 24 tahun kehilangan kerja secara mendadak apabila rangkaian pasaraya terkenal menutup cawangan di KLCC pada April lalu. Sebagai pekerja kontrak, anak muda Cheras ini tidak menerima sebarang pampasan.

“Kerja dua tahun dan notis diberikan hanya sebulan. Sambil bekerja pada bulan terakhir Mei lalu, saya cari kerja lain. Akhirnya, dapat kerja penghantar barangan,” katanya.

Kerjaya “runner” hanya menerima gaji pokok RM1500 sebulan. Zikri bergantung pada komisen penghantaran. Ertinya, perlu mendapatkan lebih tempahan setiap hari atau perjalanan jarak jauh untuk komisen per kilometer.

“Ada hari saya dapat dua kali trip ke Pelabuhan Kelang. Walaupun letih, tapi jarak perjalanan dari Kampung Pandan atau Keramat memberikan saya komisen sekitar RM6 ke RM8 per perjalanan,” katanya.

Sebagai suami muda, Zikri perlukan gaji bersih RM2,500 sebulan dan semua ini mesti dilakukan dalam tempoh sembilan jam berkerja selama lima hari seminggu.

Khidmat servis penghantaran atas talian tidak menyediakan elaun lebih masa. Zikri berkerja mengikut waktu pejabat bermula 9 pagi hingga 5 petang.

Selain kadar pengangguran yang bakal kekal tinggi melebihi 3.4% tahun depan serta angka pembuangan pekerja dijangka terus meningkat, platform ekonomi gig akan kekal menjadi perhatian utama.

Industri media massa merudum

Ketika ekonomi gig berkembang pesat, industri media massa terus tenat tahun ke tahun sejak 2016.

“Selepas hilang pekerjaan setelah 22 tahun bekerja dalam industri media, saya memandu e-hailing saja,” kata Abdul Rani Ahmad.

Industri media sejak tiga tahun paling teruk terkesan. Gergasi media menawarkan pakej penamatan kerja melalui VSS dan MSS secara besar-besaran. Impak ini membabitkan pekerja berstatus pengurus besar dengan gaji lebih RM30 ribu hingga pemandu bergaji RM3 ribu.

“Saya menerima RM63 ribu bayaran pampasan sebagai pemandu. Namun, pada usia 48 tahun saya sukar mendapat kerja baru. Malah, rakan wartawan, penerbit, editor dan pereka set juga gagal mendapat kerja,” kata Abdul Rani.

Industri media konvensional terutama akhbar dan televisyen paling teruk terkesan. Kejatuhan indek pendapatan iklan menyebabkan syarikat gergasi media terpaksa terus menawarkan pakej VSS dan MSS. Malah, pakej ini ditawarkan tiga kali dalam tempoh tiga tahun.

Ada syarikat yang menawarkan VSS pada November tahun lalu sebagai langkah menyusun semula perniagaan. Namun, hanya bertahan 10 bulan sebelum terpaksa memilih gulung perniagaan.

Secara total, industri media cetak dan penyiaran menamatkan khidmat lebih 3 ribu pekerja dalam 36 bulan.

Media massa kecilkan operasi

“Akan ada syarikat menawarkan VSS besar-besaran dalam sektor media cetak pada suku keempat tahun ini. Atau selewatnya suku pertama tahun depan,” kata sumber yang rapat dengan penstrukturan semula industri media.

Saiz operasi, kata sumber, akan dikecilkan secara ekstrem berikutan migrasi pengiklanan ke platform digital akan melebihi 30% tahun depan. Ini menjadikan media cetak dan televisyen akan terus mengalami kemuncupan pendapatan.

Selain itu, kemeruduman industri media secara keseluruhan menyebabkan kurang 2% bekas pekerja media massa yang ditamatkan khidmat berjaya mendapat pekerjaan semula dalam bidang kemahiran mereka.

Seperti rangkaian pasaraya yang merudum teruk, media massa juga berdepan teori domino akibat isu penguncupan iklan.

“Kami perlu agresif menyusun semula industri media. Mengurangkan kos adalah isu utama dan pasti wujud VSS dan MSS sekiranya mahu kekal bertahan,” kata sumber itu lagi.

Secara purata, industri media massa menyumbang sekitar 3% angka pembuangan pekerja sejak 2017.

“Angka pekerja media cetak kini perlu disusun semula. Berbanding keperluan purata 500 hingga 600 pekerja per akhbar, angka relevan sekarang hanya 150 ke 200 orang per operasi,” kata sumber.

“Operasi jabatan berita sendiri harus dikecilkan ke angka 60 berbanding 180 ke 200 orang pada skala sedia ada,” kata sumber.

Pendapatan iklan dan angka edaran akhbar Melayu sangat ketara jatuh merudum. Lima tahun lalu, purata akhbar Melayu memiliki edaran 180 ribu ke 250 ribu naskhah sehari.

Selain pendapatan margin jualan fizikal sekitar 40 sen senaskhah, akhbar Melayu memperolehi sumber iklan sekitar RM8 juga hingga RM10 juta sebulan.

Kini edaran semua akhbar Melayu arus perdana berada di antara 50 ribu hingga 100 ribu naskhah sehari. Impaknya menyebabkan purata pendapatan iklan turut menjunam ke paras RM2.5 juta ke RM3 juta sebulan.

Menuju realiti baharu

“Tidak ada media massa yang mampu bertahan dengan kos operasi yang sama setelah kejatuhan hampir 300% pendapatan iklan bulanan,” kata sumber itu.

Ini realiti ekonomi hari ini. Kita harus menerima hakikat, kadar pengangguran tinggi serta lambakan pekerja mahir yang kehilangan kerja menyebabkan platform ekonomi gig sangat penting.

“Pemandu e-hailing paling popular sebab kalau rajin boleh dapat gaji bersih RM6 ribu sebulan. Pekerja profesional yang hilang kerja memilih jadi pemandu untuk mendapat gaji setara dengan kerja lama,” kata Khairul Anuar.

Tidak seperti pekerjaan buruh kasar, tukang cuci dan pembantu rumah, ekonomi gig akan kekal dalam kitaran pilihan anak muda kerana glamornya sebagai kerjaya era digital. – 27 Oktober, 2019.

* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen