KEADAAN kesihatan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Shafie Apdal bertambah baik sejak dimasukkan ke hospital lewat malam tadi, kata setiausaha agung parti itu Loretto Padua Jr.
Bagaimanapun, Padua berkata beliau tidak pasti sama ada keadaan kesihatan Shafie pada masa ini cukup baik untuk bekas menteri pembangunan luar bandar dan wilayah itu untuk ke mahkamah petang ini.
Shafie dijadualkan dibawa ke mahkamah pada jam 2 petang ini bagi prosiding permohonan tahanan remannya oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) susulan penahannya malam tadi selepas memberi keterangan kepada agensi itu di Kota Kinabalu semalam.
Padua berkata mereka menyerahkan kepada doktor di Hospital Queen Elizabeth untuk memutuskan sama ada Shafie boleh dibenarkan keluar hari ini atau tidak.
“Saya tidak pasti sama ada majistret akan mendengar permohonan reman itu di mahkamah atau di hospital.”
Shafie dimasukkan ke hospital malam tadi kerana tekanan darah tinggi.
The Malaysian Insight difahamkan terdapat pertelingkahan antara Padua dan pegawai SPRM di hospital.
Pegawai SPRM pada awalnya mahu membawa Shafie ke penjara Kepayan walaupun keadaan kesihatannya begitu.
Sumber berkata pegawai berkenaan akhirnya mengalah selepas doktor memberitahu Shafie perlu dimasukkan ke hospital.
Sementara itu, tidak ada penyokong Warisan kelihatan di hospital di mana Shafie sedang dirawat.
Timbalan Presiden Warisan Darell Leiking pada masa ini sedang bersama Shafie di dalam wad, di mana presiden parti itu turut ditemani oleh isteri dan ahli keluarga sejak malam tadi. – 20 Oktober, 2017.
Komen