Isteri tahanan kes LTTE akhiri mogok lapar


Noel Achariam

Tiga wanita mengadakan mogok lapar di luar Bukit Aman bagi mendesak polis membebaskan suami mereka yang ditahan di bawah Sosma kerana disyaki terlibat dalam aktiviti keganasan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Oktober, 2019.

TIGA wanita yang mengadakan mogok lapar di luar ibu pejabat polis Bukit Aman mengakhiri protes mereka selepas usaha untuk membebaskan suami mereka sebelum sambutan Deepavali esok menemukan kegagalan.

Mereka merupakan isteri kepada beberapa suspek yang ditahan kerana mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) dari Sri Lanka.

Ketiga-tiga wanita itu mengosongkan kawasan terbabit pukul 4 petang hari ini.

Mereka tidur di laluan pejalan kaki sejak Isnin lalu dengan harapan memberi tekanan kepada polis supaya membebaskan suami mereka yang ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan dan Langkah Khas (Sosma) 2012.

J. Vimala Devi, isteri kepada ahli majlis tempatan V Suresh Kumar, memberitahu The Malaysia Insight bahawa mereka menghentikan protes itu kerana usaha mereka untuk membebaskan suami masing-masing sebelum Deepavali telah gagal.

“Kami kecewa bahawa suami kami tidak dibebaskan.

“Kami telah cuba segalanya termasuk melancarkan mogok lapar tetapi mereka masih ditahan,” katanya.

Dua lagi wanita adalah V. Umahdevi, isteri kepada Ahli Dewan Undangan (Adun) Gadek G. Saminathan, dan Sumadi, isteri kepada Ketua Pegawai Eksekutif Green Technology Corporation S. Chandru. 

Kedua-dua wanita itu datang dari Melaka.

Semalam Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador berkata kesemua 12 suspek akan dibenarkan untuk bertemu keluarga mereka pada Deepavali.

Beliau berkata hanya keluarga terdekat dibenarkan melawat tahanan tersebut.

Vimala berkata mereka diberi masa dua jam untuk melawat suami mereka esok di Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur.

“Kami masih di Kuala Lumpur dan akan melawat mereka sebelum pulang ke Melaka.”

Beliau berkata mereka akan menunggu keputusan mahkamah minggu depan sebelum memikirkan tindakan selanjutnya.

Pada Khamis, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan Khamis depan bagi mendengar permohonan habeas corpus daripada lima tahanan yang difailkan oleh peguam mereka, Ramkarpal Singh.

Saminathan,  Gunasekaran, Chandru Suparmaniam, Suresh Kumar Velayuthan dan Arivainthan Subramaniam mahu mencabar penahanan mereka di bawah Sosma.

Saminathan dan Gunasekaran merupakan Adun DAP.

Mereka berlima antara 12 suspek yang ditahan pada 10 dan 12 Oktober kerana dikaitkan dengan LTTE.

Mereka juga menegaskan tidak terlibat dalam LTTE dan menafikan dakwaan kononnya mahu menghidupkan semula kumpulan pengganas itu. – 26 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen