Pelakon Felicity Huffman bebas dari penjara lebih awal


Pelakon Felicity Huffman dibebaskan 3 hari lebih awal dari penjara selepas didapati bersalah memberi suapan bagi membolehkan anak perempuannya memasuki universiti. – Gambar AFP, 26 Oktober, 2019.

PELAKON Amerika Syarikat (AS) Felicity Huffman dibebaskan 3 hari lebih awal dari penjara selepas didapati bersalah memberi suapan bagi membolehkan anak perempuannya memasuki universiti.

Huffman, 56, yang mula menjalani hukuman di Institusi Pemulihan Persekutuan di Dublin, California pada 15 Oktober lalu, akan dibebaskan pada Ahad. Beliau dijatuhi hukuman penjara 14 hari.

Jurucakap Biro Penjara berkata pelakon drama bersiri “Desperate Housewives” and “American Crime” dibebaskan lebih awal mengikut peraturan yang membenarkan tahanan dibebaskan sebelum hujung minggu.

Huffman merupakan individu pertama daripada 30 ibu bapa yang dijatuhi hukuman kerana terlibat dalam skandal membantu anak-anak golongan elit menempatkan diri di universiti berprestij di AS.

Mei lalu, pelakon itu mengaku bersalah membayar AS$15,000 supaya markah peperiksaan SAT anak perempuannya dinaikkan.

Skandal itu terbongkar pada Mac selepas dalangnya, William “Rick” Singer mengaku menjalankan aktiviti penipuan termasuk memberi suapan kepada jurulatih supaya membantu pelajar bukan atlet mendapatkan biasiswa.

Pihak berkuasa berkata Singer memnayar kira-kira AS$25 juta untuk merasuah jurulatih dan pegawai universiti. Lelaki itu mengaku bersalah dan kini bekerjasam dengan pihak berkuasa.

Pelakon Lori Loughlin yang terkenal menerusi sitkom “Full House” dan suaminya adalah antara ibu bapa yang mendapatkan bantuan Singer. Pasangan itu mengaku tidak bersalah dan akan dibicarakan. – AFP, 26 Oktober, 2019.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen