Peniaga masih raih untung, walau pembeli berjimat sambut Deepavali


Kalidevi Mogan Kumarappa Ragananthini Vethasalam Sheridan Mahavera Zaim Ibrahim

Pembeli mengamalkan sikap berjimat cermat menyambut Deepavali, walaupun penjual merasakan ia tidak banyak memberi kesan kepada keuntungan mereka. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 26 Oktober, 2019.

PENJUAL pakaian tradisional dan aksesori masih menikmati jualan memberangsangkan walaupun pembeli mengambil langkah berjimat-cermat sempena musim Deepavali tahun ini.

Tinjauan dibuat The Malaysian Insight di bazar Deepavali di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang mendapati kebanyakan peniaga optimis mereka mampu menghabiskan stok jualan dan mengaut untung tahun ini.

Vellagan Aroaiam di Seberang Prai, Pulau Pinang misalnya gembira pakaian Deepavali dijualnya mendapat sambutan hangat bukan sahaja daripada pembeli kaum India tetapi juga Cina dan Melayu.

“Memang saya tahu orang tidak mahu lagi barang yang mahal, jadi kita jual harga yang berpatutan, barangan saya semua RM100, jadi orang mampu beli dan baju Deepavali ni orang Melayu dan Cina pun minat.

“Perniagaan okay, saya lihat jual baju-baju untuk Deepavali dapat sambutan pelbagai kaum,” kata peniaga berusia 64 tahun yang mempunyai kedai di Bagan Ajam dan Butterworth itu.

Seorang lagi peniaga, R Valarummathi berkata, beliau menjangkakan pelanggan lebih teliti dan cerewet dan kerana itu beliau sangat mementingkan kualiti barangan dijualnya.

“Kita tahu pengguna mahu harga barang murah, jadi saya dapatkan pembekal yang boleh bagi harga rendah dan kualiti masih okay, ada sambutan juga.

“Saya pun ada selalu buat promosi. Ada baju kanak-kanak, buy 1 free 1 (RM50), ada 3 baju RM100. berniaga untuk Deepavali tahun ini saya anggap masih dapat keuntungan. Cuma kedai saya agak tersembunyi, jadi pelanggan tak ramai sangat datang,” katanya.

Deepavali disambut meriah, walaupun ramai pembeli mengamalkan sikap berjimat. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 26 Oktober, 2019.

Di Kuala Lumpur pula, Manimegalai Annamalai pula menyifatkan jualannya tahun ini baik kerana beliau banyak menjual kurta berbanding pakaian Punjabi dan sari.

“Perniagaan lebih baik tahun ini, ramai yang membeli kerana kurta lebih murah berbanding Punjabi suit dan sari.

“Saya ambil stok 5000 keping untuk musim perayaan kali ini, setakat ni dah jual separuh (dan saya) yakin boleh habiskan stok sebelum Deepavali,” kata peniaga berusia 46 tahun yang mempunyai kedai di Brickfields itu.

Beliau juga mampu mendapatkan harga berpatutan untuk stok jualan dari India kerana membuat tempahan awal.

Tinjauan dibuat ke atas 10 orang pengguna di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang turut mendapati mereka berjimat untuk membeli belah sempena Deepavali disebabkan harga makanan mentah, manisan dan kuih-muih semakin tinggi.

Beberapa pengguna ditemui berkata mereka kurang membeli pakaian dan hiasan tahun ini berbanding sebelum ini.

Situasi itu disahkan seorang peniaga hiasan di Brickfields, Sharma Maniam yang berkata jualannya berkurangan tahun ini.

“(Jualan) Kurang memberangsangkan pelanggan lebih membeli barang keperluan seperti pakaian dan makanan, (mereka) kurang membeli barang perhiasan rumah yang bertemakan Deepavali.

“Ramai yang menggunakan barang perhiasan yang dah digunakan tahun sebelum ini. Saya sudah mula kurangkan harga barangan janji dapat habiskan stok, kalau simpan lebih rugi, baik jual dapat untung rendah daripada barangan tak terjual,” katanya yang berusia 30 tahun itu.

Bagaimanapun, situasi berbeza di bazar Lebuh Ampang-Masjid Jamek, Kuala Lumpur, kerana kawasan itu lengang walaupun Deepavali akan disambut Ahad ini.

“Awak boleh tengok sendiri tak ramai orang datang walaupun hanya beberapa hari sahaja Deepavali,” kata Bama, salah seorang penjual di situ.

“Teruk sangat. Dulu kami boleh buat untung cecah RM10,000 sehari, sekarang nak dapat RM3,000 pun susah.”

Walaupun harga barangan di kedainya tidak banyak berubah berbanding tahun lepas, ia tidak membantu jualan.

“Harga lebih kurang sama. Cuma orang takda kuasa beli macam dulu. Ramai tak bekerja. Macam awak tengok, semua ini ada potongan harga.” – 26 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen