PENINGKATAN harga makanan menyebabkan pengguna mengurangkan perbelanjaan untuk pakaian serta hiasan, sebaliknya memberikan tumpuan kepada masa berkualiti bersama keluarga sempena sambutan Deepavali tahun ini.
Dalam tinjauan ke atas 10 orang pengguna di Selangor dan Pulau Pinang, majoriti mereka berkata peruntukan untuk Deepavali kali ini serupa dengan tahun lepas.
Tetapi jumlah barangan yang dibeli berkurangan kerana harga daging, sayur, manisan dan kuih-muih meningkat naik.
Walaupun berdepan kenaikan kos, hampir semua mereka memberitahu The Malaysian Insight Deepavali bukanlah soal pakaian atau makanan atau hiasan yang dibeli untuk menyambutnya.
P Barath dari Pulau Pinang berkata, Deepavali tidak sepatutnya menjadi musim berbelanja berlebihan sebaliknya ia adalah masa untuk bersama-sama keluarga.
“Kalau kita tahu tak mampu, jangan belanja lebih, jangan sambut raya sampai jadi lagi susah.
“Keluarga saya pun tak banyak belanja banyak, setakat mampu saja raya ini patutnya luang masa bersama keluarga, bergembira dengan mereka,” kata usahawan berusia 29 tahun itu.
Seorang lagi pengguna di Pulau Pinang, T Tharmin, berkata beliau terkesan dengan harga pakaian dan makanan tradisional tahun ini yang meningkat naik.
Berbanding amalan biasa membeli dua set pakaian untuk isteri dan dua anaknya, eksekutif berusia 39 tahun itu hanya membeli sepasang persalinan tahun ini.
“Nak kata tak meriah tu tak lah, tapi harga barang tinggi kita banyak berjimat.”

Belanja sama, tapi jumlah barangan dibeli berkurangan
The Malaysian Insight menemui 10 buah keluarga di bazar Deepavali di Brickfields dan Lebuh Ampang-Masjid Jamek, kedua-duanya di Kuala Lumpur. Tinjauan juga dibuat di Pulau Pinang.
Separuh daripada 10 keluarga berkata mereka mengeluarkan jumlah wang yang sama tahun ini untuk makanan, pakaian dan peralatan sembahayang seperti tahun lepas.
“Peruntukan saya tahun ini tidak termasuk pakaian adalah RM2,000. Itu yang saya belanjakan untuk kuih-muih dan kek, barangan rumah, makanan dan minuman,” kata Indira Devi Retnam ketika ditemui di bazar Lebuh Ampang.
“Peruntukan lebih kurang sama macam tahun lepas, tetapi saya beli kurang barang dengan jumlah duit yang sama (tahun ini).”
Seorang lagi pengunjung bazar, Prema Vaithialingam berkata, walaupun terdapat peningkatan harga terutamanya untuk makanan, keluarga masih perlu mengeluarkan belanja untuk meraikan tetamu dan saudara mara.
“Kita masih boleh dapat diskaun untuk pakaian kerana ada jualan murah Deepavali. Tetapi, untuk peralatan sembahyang dan makanan, harganya lebih kurang sama.”
Di Pulau Pinang pula, pesara M Selva Raju merasakan harga pakaian masih munasabah walaupun harga barang makanan mentah sudah naik.
“Di pasar, harga untuk ayam dan kambing lebih tinggi berbanding sebelum ini,” katanya yang berusia 65 tahun itu.
“Saya selalunya tak beli pakaian ketika Deepavali, saya beli sebelum musim (perayaan) bila mereka buat jualan murah.”
Belanja lebih untuk keluarga
Gengammal Valayutham adalah salah sebuah daripada tiga keluarga yang ditemui TMI berbelanja lebih untuk Deepavali tahun ini.
“Saya belanja lebih sebab saya dapat seorang lagi cucu tahun ini,” kata pemandu van berusia 58 tahun itu.
“Setiap tahun peruntukan antara RM1,000 dan RM1,500 tetapi tahun ini kami belanja lebih kurang RM2,000 untuk barang makanan segar,” katanya ketika ditemui di bazar Brickfields.

Seorang lagi pengunjung bazar itu, P Dharmaletchumi, 34, pula mengeluarkan belanja tambahan antara RM250 sehingga RM500 tahun ini untuk membeli pakaian baru bagi bayinya.
“Baju bayi sekarang RM100, dulu antara RM50 dan RM60,” kata eksekutif sektor swasta itu.
“Kuih pun lebih mahal. Setin muruku sekarang RM150 dan manisan juga mahal walaupun kualiti makin rendah.”
Tetapi, bukan semua orang berbelanja lebih untuk makanan dan pakaian sahaja.
Thirumaran Muthusamy yang masih bujang memperuntukkan sehingga RM2,000 setiap tahun untuk anak-anak saudaranya.
“Belanja sama sahaja, cuma lebihkan duit angpau untuk anak buah.
“Setiap tahun bajet dalam RM2,000 setiap musim perayaan. Suasana meriah sama sahaja, selalu sambut ala kadar bersama ahli keluarga lebih utamakan perjumpaan keluarga,” katanya. – 26 Oktober, 2019.
Komen