Bajet 2018 mungkin ‘bajet pilihan raya’ tapi masalah lama perlu diselesaikan


Sheridan Mahavera

Kegagalan graduan mendapatkan pekerjaan adalah antara masalah yang perlu ditangani dalam Bajet 2018, kata pakar ekonomi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Oktober, 2017.

SITI Nursyazalina Zailani antara wajah masalah ekonomi yang sudah sekian lama wujud dan menjadi ancaman kepada matlamat Malaysia untuk menjadi negara berpendapatan tinggi yang mapan iaitu pengangguran belia.

Selepas gagal mendapatkan pekerjaan menerusi ijazah kejuruteraan, gadis kelahiran Ipoh itu bekerja sebagai pembantu rumah untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Masalah seperti inilah, kata pakar ekonomi yang perlu ditangani dalam Bajet 2018 walaupun ia nampaknya akan dipenuhi dengan “gula-gula pilihan raya” yang disasarkan untuk penyokong tradisi gabungan parti pemerintah.

Pemberian bantuan adalah penting untuk sebahagian besar populasi dalam 2018, tetapi perubahan struktur untuk menyelesaikan isu seperti pengangguran belia dan gaji yang tidak berubah sangat untuk negara ini dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Sudah tiba masanya untuk Bajet 2018 memangkinkan peralihan ke arah sektor swasta dan pendekatan berasaskan pasaran,” kata Prof Dr Yeah Kim Leng dari Sunway University’s Business School.

“Ini untuk menangani masalah gaji yang lembap, pertumbuhan pengambilan pekerja lemah, produktiviti rendah dan kebergantungan yang keterlaluan terhadap pekerja asing tidak mahir.”

Pakar berkata isu lain yang perlu kerajaan tangani termasuk disiplin dalam membelanjakan dana awam dan mengurangkan sekatan kepada perniagaan untuk memacu lebih banyak pelaburan.

Walaupun kerajaan menjangkakan untuk membelanjakan lebih banyak lagi pada 2018 berikutan perolehan yang dijangka meningkat, ia tidak sepatutnya dibelanjakan secara berlebihan, kata Yeah.

“Bajet perlu terus berhemah dan gabungan fiskal serta pengurangan defisit perlu diteruskan bagi memastikan pertumbuhan mapan, meningkatkan keyakinan pelabur,” katanya.

Seorang lagi pakar ekonomi dari Pusat Penyelidikan Sosioekonomi (SERC) Lee Heng Guie berkata setiap lebihan wang yang diperoleh sepatutnya dibelanjakan secara berkesan.

 “Dengan cukai kepenggunaan yang luas (cukai barangan dan perkhidmatan), kerajaan persekutuan tidak mengalami kekurangan hasil jadi penting untuk tidak terlebih berbelanja dan elak ketirisan,” kata Lee kepada The Malaysian Insight.

Pertumbuhan meningkat, pekerjaan kurang

Lee berkata setelah dua tahun merosot, tahun ini ekonomi berkembang pesat dan ia kerana perbelanjaan pengguna yang meningkat, dijana oleh pelaburan sektor swasta dan juga lonjakan eksport yang memberangsangkan.

“KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) yang sebenar berkembang pesat sehingga 5.7% tahun ke tahun pada suku pertama 2017,” katanya.

Inilah yang membuatkan kadar pengangguran kekal serendah 3.3%.

Tetapi pada 2016, kadar pengangguran golongan muda meningkat kepada 10.6% dan hampir 23% graduan universiti masih menganggur, kata Lee dan menambah angka ini sangat membimbangkan.

“Kebolehpasaran golongan muda wajar ditangani relatif dengan kehendak dan keperluan pasaran. Ia bukan sekadar masalah keperluan latihan dan pekerjaan semata-mata,” katanya.

Untuk menarik golongan muda kembali dalam pasaran kerja memerlukan wang yang banyak dan penekanan pada aspek Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan juga pembangunan semangat keusahawanan.

“Kerajaan patut memperkenalkan insentif untuk membangunkan sistem dwi-latihan seperti di Jerman,” kata pakar ekonomi Universiti Malaysa Profesor Rajah Rasiah.

Sistem pendidikan di Jerman menggalakkan kerjasama antara sekolah vokasional dengan syarikat kecil dan sederhana bagi menghasilkan pekerja berkemahiran tinggi untuk industri. Kesan daripada sistem itulah yang menyebabkan kurangnya kadar pengangguran.

Rajah berkata peruntukan besar diperlukan untuk mencipta program keusahawanan untuk universiti awam dan swasta.

Sementara itu Lee berpendapat polisi untuk membantu syarikat untuk melabur dalam “Revolusi Industri Keempat” juga akan mencipta peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.

“Revolusi ini pada dasarnya adalah ‘kilang pintar’, memanfaatkan pada bidang robotik, pendigitalan penapisan data, hal yang berkaitan Internet bagi menjimatkan kos dalam kawalan kualiti dan penyelenggaraan.

“Keperluan untuk insentif dan geran, elaun modal pelaburan dan dana penyelarasan industri berteknologi tinggi adalah untuk melancar dan membanyakkan pengeluar terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mengangkat dan merangkul kepentingan industri Internet,” katanya.

Tekanan gaji

Memperbaiki asas perinudstrian negara semestinya akan menangani masalah ekonomi lain terutamanya lambakan kemasukan buruh asing berkemahiran rendah.

Justeru, syarikat-syarikat pembuatan perlu ditekan supaya menaik taraf operasi mereka agar dapat mengurangkan buruh asing berkemahiran rendah, kata Rajah.

Bagi ahli parlimen Liew Chin Tong, lambakan buruh asing yang tidak cekap mengakibatkan tekanan gaji buat rakyat Malaysia.

“Kemasukan buruh asing yang tidak berkemahiran telah mengganggu sistem gaji rakyat Malaysia di semua peringkat, bukan sekadar peringkat buruh sahaja,” tulis Chin Tong di blognya.

“Apabila terlalu ramai buruh asing, pekerja tidak punya kuasa tawar-menawar bagi mendapat gaji dan persekitaran yang lebih baik.

“Penggunaan buruh asing kurang mahir yang ramai dalam syarikat yang berorientasikan eksport menyebabkan kurangnya tekanan untuk menaik taraf syarikat,” kata Rajah.

Oleh itu, untuk menaik taraf syarikat, kerajaan perlu menilai semula insentif program yang kerajaan tawarkan.

Cara lain untuk mengikis buruh asing adalah dengan mewajibkan insurans kesihatan buat semua pekerja tempatan dan luar, jelas Rajah.

Bersama dengan polisi ketat terhadap pekerja tanpa izin, barulah dapat mengurangkan tekanan dan kos untuk membiayai hospital dan klinik. – 20 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen