Protes isteri tahanan Sosma di Bukit Aman semakin dapat sokongan


Noel Achariam

V Umahdevi (kiri) dan J Vimala Devi (kanan) di depan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman untuk menuntut pembebasan segera suami mereka yang ditahan kerana dakwaan LTTE. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 25 Oktober, 2019.

SOKONGAN kepada tiga isteri tahanan Sosma yang sedang mengadakan mogok lapar di luar Ibu Pejabat Polis Bukit Aman menuntut pembebasan suami mereka semakin bertambah.

Puluhan pelawat mengunjungi mereka, meminta wanita terbabit terus kuat serta memberikan sokongan moral supaya meneruskan protes itu.

Semua wanita terbabit tidur di laluan pejalan kaki sejak lima hari lepas, berharap polis akan membebaskan suami mereka yang sedang ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012, sebelum Deepavali yang disambut Ahad ini.

V Umahhdevi, isteri kepada Adun Gadek G Saminathan berkata, sejak protes itu bermula, hampir 200 orang melawat mereka.

Katanya lagi, ada pelawat yang datang dari Ipoh dan Melaka, walaupun kebanyakan pelawat adalah dari Selangor dan Kuala Lumpur.

“Kami tersentuh dengan semua sokongan moral yang kami dapat.

“Kami mahu rakyat Malaysia tahu apa yang kami sedang lalui. Kami tak akan berganjak sehingga mereka (suami) dibebaskan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Suami mereka ditahan di bawah Sosma kerana disyaki mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE), Sri Lanka.

Dua lagi wanita adalah J Vimala Devi, isteri V Suresh Kumar dan Sumadi isteri kepada S Chandru.

Awal hari ini, Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador berkata kesemua 12 suspek akan dibenarkan berjumpa keluarga mereka pada Deepavali.

Katanya, hanya ahli keluarga terdekat tahanan boleh berjumpa mereka di pusat tahanan.

Umahdevi bagaimanapun berkata, lawatan itu tidak berguna kerana beliau mengharapkan suaminya dapat pulang untuk bersembahyang bersama.

“Apa guna, bila saya tak boleh ke kuil dengan suami untuk sembahyang.

“Walaupun kami melawat, kami hanya ada masa terhad bersama. Kami mahu dia balik untuk Deepavali,” katanya.

V Umahhdevi, isteri kepada Adun Gadek G Saminathan berkata, sejak protes itu bermula, hampir 200 orang melawat mereka.– Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 25 Oktober, 2019.

Vimala pula meluahkan rasa terharu kerana sokongan penyokong protes itu.

“Kami tak tahu sampai bila kami akan berada di sini, tetapi kami akan terus bertahan sehingga semua mereka dibebaskan,” katanya.

Tambahnya, beliau juga tidak tahu bagaimana hendak memberitahu anak-anaknya yang berusia antara tiga dan lima tahun apabila mereka melawat ayah di penjara pada Ahad ini.

“Mereka asyik bertanya tentang ayah mereka dan saya beritahu ayah di luar negara. Sekarang, mereka akan datang lawat dan saya tak tahu hendak kata apa,” katanya.

Dalam perkembangan terbaru kes itu, Hamid berkata kertas siasatan sudah dihantar kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

“Polis sedang menunggu maklum balas Peguam Negara,” katanya.

12 individu itu ditahan selama 28 hari tanpa bicara di bawah Sosma, dan tarikh akhir tahanan dijangka berakhir pada 6 dan 8 November ini, bergantung sama ada mereka ditangkap pada 10 atau 12 Oktober. – 25 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen