Exco, Adun Pakatan Melaka ikrar taat setia kepada ketua menteri


Nabihah Hamid

Wakil rakyat PH Melaka mengikrarkan taat setia kepada kepimpinan Ketua Menteri Adly Zahari. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Oktober, 2019.

SEMUA exco kerajaan Melaka serta wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) mengikrarkan taat setia kepada kepimpinan Ketua Menteri Adly Zahari selepas ada laporan wujud gerakan untuk menjatuhkan beliau melalui “kerajaan pintu belakang”.

Dalam satu kenyataan bersama, mereka yakin dengan kepimpinan Adly disifatkan “berwibawa dengan kestabilan politik di Melaka dan tatakelola pentadbiran yang telus”.

“Kami menolak sebarang tindakan yang memperlekehkan mandat rakyat dan membelakangi prinsip demokrasi melalui pilihan raya,” kata 14 Ahli Dewan Undangan Negeri Melaka termasuk 10 exco kerajaan negeri dalam satu kenyataan bersama.

“Kami memberi sokongan dan kepercayaan penuh kepada Ketua Menteri Adly Zahari untuk terus memimpin negeri Melaka bagi melaksanakan janji PH,” kata mereka.

Kenyataan itu turut menyertakan nama exco G Saminathan yang kini dalam tahanan pihak berkuasa. Adun Gadek itu ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) sejak 10 Oktober lalu kerana didakwa terlibat dengan kegiatan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Kenyataan itu menyusul laporan The Malaysian Insight awal hari ini mengenai gerakan dua exco kerajaan Melaka mahu bergabung dengan wakil rakyat Umno untuk menjatuhkan kerajaan negeri sekarang.

Dalam kerajaan baharu itu nanti, seorang exco berkenaan akan dinamakan sebagai ketua menteri sementara Adun Umno akan mendapat tujuh tempat sebagai exco kerajaan negeri, kata sumber.

Sumber juga memberitahu The Malaysian Insight, rancangan itu akan dilaksanakan semasa sidang Dewan Undangan Negeri Melaka antara 18 hingga 26 November ini dengan menolak belanjawan negeri untuk tahun depan.

Adly sebelum itu menafikan kerajaan pimpinannya sedang digugat dengan gerakan “kerajaan pintu belakang”.

Beliau dipetik media berkata kerajaan PH di Melaka masih utuh dan mahu kekal fokus dengan agenda pembaharuan demi pembangunan ekonomi rakyat

Sementara itu Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam, Mohd Sofi Abdul Wahab yang dihubungi menjelaskan laporan “kerajaan pintu belakang” di Melaka hanya desas desus yang ditiupkan oleh pihak tertentu.

“Mereka ini cuba melaga-lagakan pimpinan negeri untuk mencapai tujuan politik peribadi,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Ditanya mengenai kehadiran exco dalam mesyuarat hari ini, beliau berkata ketidakhadiran dalam mesyuarat mingguan bukan menunjukkan seseorang exco tidak menyokong ketua menteri.

“Ada exco yang tidak hadir kerana berada di luar negeri atas urusan rasmi,” katanya.

Sofi bagaimanapun tidak menamakan exco yang tidak hadir tersebut.

Dalam pilihan raya umum lalu, PH menang 15 kerusi negeri sementara Barisan Nasional (BN) menang 13 kerusi, semuanya melalui Umno.

Daripada 15 kerusi PH, Amanah mempunyai 2, Bersatu 2, PKR 3 dan DAP 8.

Sekiranya dua Adun PH menyokong BN, kerajaan negeri akan lumpuh kerana seorang wakil rakyatnya iaitu Saminathan sedang berdepan proses undang-undang.

Sejak minggu lalu, ada desas-desus usaha untuk menubuhkan kerajaan baharu di Putrajaya tanpa Amanah dan DAP.

Kerajaan pintu belakang ini bertujuan memastikan Dr Mahathir Mohamad mempunyai sokongan yang cukup untuk dikekalkan sebagai perdana menteri sehingga mandat pilihan raya berakhir, sekaligus menghalang pelan peralihan kuasa kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim. – 25 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen