BEKAS kakitangan Utusan Melayu (M) Bhd menuntut syarikat itu telus kepada kakitangan dan menjelaskan bila sebenarnya keputusan dibuat untuk menggulung syarikat.
Kelab Veteran Utusan Malaysia (KVUM) menggesa demikian merana melihat Utusan lebih cenderung menyelamatkan permit akhbar dan tidak mempedulikan kakitangannya.
Presiden KVUM Khalid Yunus berkata ini kerana Utusan tetap menggulung syarikat selepas mengumumkan pelan memulihkan syarikat dan memberi jaminan untuk membayar tunggakan gaji kakitangan.
“Kesimpulan yang kita nampak seolah-olah syarikat ini hanya mementingkan untuk menyelamatkan permit akhbar, dan bukannya kakitangan.
“Mengapa pada bulan Ogos pihak pengurusan masih memberikan keyakinan dan pengumuman di buat susulan keyakinan diberikan dan menyebabkan para pekerja masih datang bekerja dan mempunyai satu harapan bahawa gaji tertunggak dan lain kebajikan akan terpelihara,” katanya.
Jelasnya pihak syarikat tidak memaklumkan pemindahan saham dalam Dilof – syarikat yang memegang permit percetakan akhbar Utusan dan Kosmo – kepada syarikat Aurora Mulia Sdn Bhd.
“Ironinya nama Dilof Sdn Bhd telah ditukarkan kepada nama baru iaitu Media Mulia Sdn Bhd juga pada tarikh sama pelantikan pelikuidasi dibuat pada 7 Oktober lalu
“Dan kepada semua syarikat ini pemiliknya adalah sama,” katanya dalam sidang media di Kuala Lumpur.
Utusan pada 9 Oktober mengumumkan menggulung syarikat dan melantik satu firma sebagai pelikuidasi interim untuk menguruskan harta dan liabiliti syarikat dengan pemiutang.
Penggulungan syarikat tersebut melepaskan Utusan daripada tanggungan hutang dan juga liabiliti ke atas pemiutang.
Utusan juga menghentikan operasi berkuat kuasa semalam sementara lebih 800 kakitangannya bercuti sehingga akhir perkhidmatan pada 31 Oktober.
Keputusan penggulungan itu diluluskan oleh lembaga pengarah Utusan pada 7 Oktober.
Pada hari yang sama, mereka juga mengumumkan Dilof Sdn Bhd, dikuasai 70% oleh Aurora Mulia. – 25 Oktober, 2019.
Komen