Prasarana akan beri kerjasama penuh SPRM siasat tiga pegawainya


SPRM sedang menjalankan siasatan awal terhadap tiga pegawai Prasarana. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Oktober, 2019.

PRASARANA Malaysia Berhad (Prasarana) akan memberikan kerjasama kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan awal yang sedang dijalankan terhadap tiga pegawai syarikat itu.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Mohamed Hazlan Mohamed Hussain berkata Prasarana adalah badan korporat yang sentiasa menjunjung tinggi prinsip-prinsip integriti dalam segala urusannya.

Beliau berkata pihaknya juga sentiasa mengingatkan seluruh warga kerjanya untuk melaksanakan tugas dengan telus, amanah dan ikhlas.

“Justeru jika kami mendapati ada projek yang mengandungi unsur-unsur tidak telus atau menyimpang daripada prosedur kendalian standard, kami akan berhubung dengan ketua pegawai integriti SPRM yang ditempatkan di Prasarana untuk mendapatkan khidmat nasihat dan kerjasama agar ia dapat diteliti dengan lebih lanjut.

“Prasarana akan memberi kerjasama penuh kepada SPRM dalam melaksanakan siasatan dan sudah mengeluarkan surat pekeliling kepada staf untuk memberikan kerjasama mereka dalam urusan itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, SPRM ketika dihubungi menyatakan bahawa suruhanjaya itu tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung perkara itu sehingga siasatan selesai dijalankan. – Bernama, 24 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen