Tawaran baharu tidak tepati hasrat penduduk Kg Bharu, kata pemilik dan waris


SM Amin

Kampung Bharu yang terletak di tengah-tengah Kuala Lumpur berdepan cabaran pembangunan apabila konflik tercetus antara kerajaan dan penduduk. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Oktober, 2019.

TAWARAN baharu kepada pemilik dan pewaris tanah Kampong Bharu, seperti yang diumumkan oleh Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad hari ini, tidak menepati hasrat penduduk, kata Presiden Pertubuhan Pemilik Tanah dan Waris Tanah Kampong Bharu (PPTWT) Mashuti Mat Soom.

Beliau memberitahu The Malaysian Insight, penduduk mahu membangunkan sendiri kawasan itu mengikut acuan sendiri dengan bantuan kerajaan, sebaliknya kerajaan hanya memberi tawaran untuk mereka menjual tanah.

“Adakah patut kita korbankan kampung kita yang sebegini mahal di tengah-tengah Kuala Lumpur hanya disebabkan tawaran yang dibuat oleh kerajaan?

“Walaupun hartanah dibeli oleh orang Melayu Islam, kawasaan yang tenang ini akan jadi padat. Keadaan akan jadi tidak terkawal dengan pelbagai masalah. Apa makna diskaun 15% itu dengan kawasan yang padat?,” katanya ketika ditemui The Malaysian Insight.

Khalid hari ini mengemukakan harga tawaran baharu berjumlah RM1,000 sekaki persegi kepada pemilik tanah Kampong Bharu, termasuk saham bernilai RM150 sekaki persegi dalam syarikat tujuan khas (SPV) yang akan dibentuk.

Tawaran saham itu adalah tambahan kepada harga tawaran RM850 sekaki persegi seperti diumumkan pada bulan lalu, selain diskaun 15% untuk mereka membeli hartanah di kawasan pembangunan baharu itu nanti.

Menurut Mashuti, masalah utama tawaran yang pernah dibuat oleh kerajaan selama ini ialah semuanya tidak pernah mengambil pandangan pemilik dan pewaris.

“Bermula sejak 1965, apabila mula keluar geran lagi kerajaan sudah cadang hendak bangunkan Kampong Bharu. Dr. Mahathir pernah rancang untuk bayar RM100 sekaki persegi tetapi tuan tanah tidak setuju, terus batal.

“Semua tawaran yang dibuat oleh kerajaan tidak pernah mengambil kira pendapat tuan tanah. Tuan tanah tidak pernah diajak bersama dalam mana-mana tawaran dalam perancangan pembangunan semula Kampong Bharu sejak tahun 1965 lagi,” kata bekas ketua kampung itu.

Projek pembangunan Kampung Bharu dicadang kerajaan mencetuskan rasa tidak puas hati ramai penduduk. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 24 Oktober, 2019.

Sementara itu, bagi penduduk Kampong Bharu Zainudin Ismail, pengumuman Khalid hari ini hanya menambah kekeliruan penduduk.

“Dengan tawaran baharu ini, elemen saham yang dimasukkan tidak difahami, siapa yang jaga duit pelaburan, siapa yang uruskan, katanya ada SPV, itu semua tidak jelas. Apa jadi kalau saham jatuh?

“Kalau satu lot tanah itu ada sehingga 30 pewaris misalnya. Adakah semua layak untuk membeli rumah dengan diskaun 15% atau hanya sebahagian sahaja yang layak? Tidakkah ini hanya menambah masalah?,” soalnya.

Beliau juga khuatir tawaran pembelian rumah dengan harga diskaun itu akan menyebabkan senario yang berlaku dalam projek Legasi Kampong Bharu sebelum ini berulang.

Jelasnya, dalam projek Legasi Kampong Bharu penduduk diberikan kuota untuk membeli hartanah tersebut namun akhirnya hanya sebahagian kecil sahaja yang mampu beli rumah tersebut.

“Legasi ada kuota untuk penduduk Kampung Bharu untuk beli tetapi akhirnya bila hantar permohonan, ramai yang tidak layak. Akhirnya apa yang penduduk kampung bharu dapat,” ujarnya.

Penduduk Kampung Bharu hanya mahukan pampasan yang lebih adil untuk tanah mereka. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Oktober, 2019.

Bagi Azreil Amlir, 49, kerajaan tidak wajar membuat tawaran dengan harga yang sama kepada pemilik dan pewaris tanah kerana nilai tanah berbeza mengikut lokasi.

Susulan daripada itu, beliau mencadangkan kepada kerajaan supaya membenarkan penduduk mengambil jurunilai bebas yang bertauliah yang berkecuali supaya harga tawaran yang dibuat memuaskan hati semua pihak.

“Dalam kalangan keluarga sudah bincang tentang tawaran. Kita merasakan bahawa dari segi lokasi tanah kami, tidak sesuai dengan harga yang ditawarkan.

“Tanah di tepi pantai tidak sama dengan tanah di tengah hutan. Bila kerajaan beri harga sama, kena kaji semula.

“Bukan kita tidak percaya tetapi biarlah ada perbandingan supaya semua pihak berpuas hati,” katanya.

Azreil juga mencadangkan supaya kerajaan memberi kelonggaran kepada pemilik tanah yang mahu membangunkan sendiri tanah mereka selagi mana tidak bertentangan dengan pelan asal kerajaan.

Selain itu, beliau juga meminta kerajaan melihat dahulu keadaan ekonomi terutamanya pasaran hartanah di negara ini yang dilihat suram.

“Kalau kita lihat sekarang kurang baik. Jadi adakah ini adalah masa yang tepat untuk membuat pembangunan mega di Kampong Bharu?

“Kita takut tiada permintaan daripada orang Melayu dan kerajaan terpaksa buka kepada bukan Melayu dan warga asing,” katanya. – 24 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen