Isteri tahanan Sosma lancar mogok lapar di Bukit Aman


Alfian Z.M. Tahir

Isteri tiga tahanan Sosma di luar Bukit Aman, mereka melancarkan mogok lapar hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 24 Oktober, 2019.

TIGA isteri tahanan Akta Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 kerana ada kaitan dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) mengadakan mogok lapar di luar Bukit Aman. 

Ketiga-tiga mereka tidur diluar ibu pejabat polis itu sejak empat hari lepas dan berikrar tidak akan meninggalkan tempat itu sehingga suami mereka dibebaskan. 

Mereka juga memutuskan mengadakan mogok lapar bermula hari ini. 

“Kami sudah berada di sini sejak Isnin lagi dan akan terus berada di sini sehingga mereka (polis) bersetuju membebaskan suami kami. Suami kami tidak bersalah dan polis perlu membebaskan mereka serta merta,” kata Umadevi, isteri Adun Gadek G Saminathan. 

Umadevi menjelaskan yang beliau lebih rela menunggu suaminya di situ, berbanding di rumah. Tambahnya, mereka sekeluarga juga tidak akan menyambut perayaan Deepavali tahun ini kerana penahanan suaminya. 

“Apa yang hendak diraikan? Suami saya dalam penjara untuk benda yang dia tidak buat. Bagaimana saya boleh sambut Deepavali tanpa dia? Saya lagi sanggup tunggu dia di sini.” 

“Jika mereka mahu tangkap kami bertiga, tangkaplak. Kami tak akan bergerak walau seinci. Kami akan terus di sini sehingga mereka semua dibebaskan,” kata Umadevi. 

Difahamkan yang beberapa anggota polis sudah meminta mereka meninggalkan tempat itu tempat permintaan itu tidak diendahkan. 

“Mereka ada datang minta kami pergi tetapi kami tidak akan ke mana-mana. Mungkin mereka hanya nampak kami bertiga, jadi mereka tak datang lagi,” katanya. 

Umadevi ditemani Vimalar Jakumaran, isteri V Suresh Kumar dan Sumadi, isteri S Chandru. 

Umadevi berkata peguam yang mewakili suami mereka serta empat lagi tahanan lain, Ramkarpal Singh sedar mengenai tindakan itu. 

Awal pagi tadi, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan Khamis depan untuk pendengaran permohonan habeas corpus daripada lima tahanan. 

Pendakwaan dan pembelaan diminta menghantar afidavit sehari sebelum pendengaran kes. 

Selasa lalu, Ramkarpal memfailkan permohonan habeas vorpus bagi pihak Saminathan, Gunasekaran, Chandru Suparmaniam, Suresh Kumar Velayuthan dan Arivainthan Subramaniam.

Permohonan itu difailkan untuk mencabar tangkapa yang dibuat di bawah Sosma. 

Bercakap kepada wartawan selepas prosiding kes, Ramkarpal memberitahu beliau berharap permohonan dapat didengar sebelum Deepavali yang jatuh pada Ahad. 

Lima orang tahanan itu adalah antara 12 orang yang ditahan pada 10 dan 12 Oktober lalu kerana didakwa ada kaitan dengan LTTE. 

Exco Melaka yang juga Adun Gadek G Saminathan dan Adun Seremban Jaya P Gunasekaran adalah antara lima yang membuat permohonan itu. 

Kelima-lima mereka dalam permohonan itu menegaskan mereka bukan sebahagian daripada LTTE dan menafikan cuba menghidupkan semula kumpulan pengganas yang sudah bubar itu. 

Pada 10 Oktober lalu, Bahagian Anti Keganasan Cawangan Khas menahan tujuh lelaki kerana disyaki mempromosi, menyokong, menyalurkan dana dan memiliki bahan berkaitan LTTE. 

Mereka ditahan di Selangor, Perak, Kedah, Negeri Sembilan, Melaka dan Kuala Lumpur. 

Dua hari kemudian, lima lagi ditahan di Pulau Pinang, Melaka dan Selangor. 

Kesemua 12 orang itu ditahan di bawah Sosma, yang membenarkan tahanan tanpa bicara sehingga 28 hari. – 24 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen