Kerajaan mahu turut serta dalam proses penentuan status pelarian


Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan kini dalam proses rundingan bersama pihak UNHCR bagi agensi kerajaan turut serta dalam proses penentuan status seseorang pelarian yang dilaksanakan pihak UNHCR. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Oktober, 2019.

KERAJAAN kini dalam proses rundingan bersama pihak Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR), bagi agensi kerajaan turut serta dalam proses penentuan status seseorang pelarian, yang dilaksanakan pihak UNHCR.

Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin berkata langkah itu bertujuan memastikan kepentingan negara khususnya dalam aspek keselamatan, diberikan keutamaan.

“Saya turut menekankan kepentingan pelaksanaan strategi ini, secara kolaboratif bersama pihak UNHCR dalam pertemuan bersama Pesuruhjaya Tinggi UNHCR Filippo Grandi di Geneva, Switzerland, pada 8 Okt 2019,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Muhyiddin menjawab soalan Rosol Wahid (PH-Hulu Terengganu) yang ingin tahu jumlah pelarian di Malaysia pada masa ini dan langkah-langkah dilaksana untuk memastikan mereka benar-benar berstatus pelarian, serta keberadaan mereka tidak mengancam keselamatan negara.

Dalam pada itu, beliau berkata bagi menjamin kerangka polisi berkaitan pengurusan pendatang asing tanpa izin yang memegang kad UNHCR dan pemohon suaka yang lebih komprehensif, pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) sedang menambah baik dan memperkemas Arahan No. 23 sebagai garis panduan kepada kementerian dan agensi kerajaan. – Bernama, 24 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen