Putrajaya kaji gubal akta pencemaran rentas sempadan, kata timbalan menteri


Ragananthini Vethasalam

Timbalan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Isnaraissah Munirah Majilis berkata akta tersebut akan membolehkan kerajaan mengambil tindakan terhadap syarikat termasuk syarikat yang bukan dari Malaysia yang menyebabkan pencemaran. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Oktober, 2019.

MALAYSIA sedang mengkaji kemungkinan untuk menggubal akta pencemaran rentas sempadan bagi menangani masalah pencemaran alam sekitar termasuk jerebu, kata Isnaraissah Munirah Majilis di Dewan Rakyat hari ini.

Timbalan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim itu berkata akta tersebut akan membolehkan kerajaan mengambil tindakan terhadap syarikat termasuk syarikat yang bukan dari Malaysia yang menyebabkan pencemaran.

“Bagaimanapun, kita perlu melihat pelaksanaannya secara holistik, sebab itu kita masih dalam peringkat mengkaji,” katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan dari Ahli Parlimen (Setiawangsa-PH) Nik Nazmi Nik Ahmad mengenai mekanisme yang akan kerajaan ambil untuk memastikan syarikat milik Malaysia yang beroperasi di luar negara mematuhi amalan yang mesra alam. Ini berikutan syarikat-syarikat dari Malaysia berulang kali dikaitkan dengan masalah jerebu.

“Kita tidak pernah melindungi mana-mana syarikat jika mereka didapati bersalah sebabkan kebakaran di Indonesia. Buat masa ini kita belum terima sebarang maklumat tentang penglibatan syarikat perladangan Malaysia di Indonesia,” jelas ahli Parlimen Kota Belud itu.

Beliau juga berkata Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar & Perubahan Iklim (MESTECC) kini sedang merangka Akta Jerebu Rentas Sempadan.

Baru-baru ini Malaysia menghadiri Mesyuarat ke-15 Menteri-Menteri Asean Mengenai Alam Sekitar (AMME) di Seam Reap, Kemboja yang berlangsung dari 6 hingga 11 Oktober.

Isnaraissah berkata Malaysia akan terus mendesak negara anggota Asean terutamanya Indonesia untuk mematuhi Perjanjian Asean mengenai Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan untuk mencapai mencapai sasaran rantau ini bebas jerebu menjelang 2020. – 24 Oktober, 2019.

Berita penuh di sini.            


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen