5 suspek LTTE sambut Deepavali dalam penjara


Alfian Z.M. Tahir

Ahli Parlimen DAP dan peguam Ramkarpal Singh mewakili lima individu termasuk dua wakil dari parti itu yang dituduh cuba mempromosikan ideologi LTTE. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Oktober, 2019.

LIMA lelaki yang dituduh cuba mempromosikan ideologi kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) terpaksa menyambut perayaan Deepavali di dalam penjara kerana pendengaran permohonan habeas corpus mereka ditetapkan minggu depan.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menetapkan 31 Oktober untuk mendengar permohonan mereka.

Pihak pendakwa raya dan peguam bela diberitahu untuk mengemukakan afidavit yang berkaitan pada 30 Oktober.

Bercakap kepada pemberita selepas menyebut kes itu, peguam bagi kelima-lima individu berkenaan Ramkarpal Singh berkata beliau berharap tertuduh boleh mendengar permohonan mereka sebelum Deepavali.

“Kami berharap ia dapat dilakukan seawal esok. Sekarang mereka terpaksa menunggu selepas Deepavai.

“Mereka sepatutnya bersama keluarga dan jika pendengaran dapat dilakukan secepat mungkin, lebih cepat mereka boleh dibebaskan,” kata ahli Parlimen DAP itu.

Lima individu itu adalah sebahagian daripada 12 orang yang ditahan polis pada 10 dan 12 Oktober kerana terlibat dalam LTTE.

Lima termasuk ahli DAP, Adun Gadek Saminathan dan Adun Seremban Jaya Gunasekaran. – 24 Oktober, 2019.

MENYUSUL


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen