SEORANG wakil rakyat Pakatan Harapan di Selangor mahu berpindah duduk bersama pembangkang apabila Dewan Undangan Negeri (DUN) bersidang semula pada 1 November ini.
Mohd Shaid Rosli (Jeram-PH Bersatu) hari ini menghantar surat kepada Speaker Ng Suee Lim memohon pertukaran tempat duduk sebagai membantah tindakan Ronnie Liu (Sungai Pelek-PH DAP) mengkritik Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad
“Permohonan pertukaran tempat duduk ini sebagai tanda protes saya terhadap Ronnie Liu dari DAP yang tidak menghormati kepimpinan Pakatan Harapan selaku kerajaan yang memerintah negeri Selangor,” kata Shaid dalam surat itu.
Ronnie mengkritik Dr Mahathir, yang juga pengerusi PH dan Bersatu, atas tindakan beliau sebagai perdana menteri yang dakwanya sering membuat keputusan bercanggah dengan kepimpinan PH.
Beliau mendakwa PH masih boleh jadi kerajaan tanpa Bersatu.
Setiausaha DAP Anthony Loke hari ini mengumumkan Liu akan dirujuk ke jawatankuasa disiplin parti kerana kenyataannya yang dianggap cuba menggugat kestabilan PH.
Liu bagaimanapun dilaporkan berkata kritikannya berniat baik, hanya mahu mengingatkan Dr Mahathir supaya selari dengan agenda PH.
Shaid dalam satu kenyataan awal malam semalam menyifatkan kenyataan Liu sebagai biadab dan keterlaluan – pandangan sama yang turut disuarakan oleh beberapa pemimpin kanan PH lain hari ini.
Beliau turut mencabar Liu, yang juga ahli jawatankuasa pusat DAP, membuat kepada PH untuk membuang Bersatu.
Katanya, beliau sedia keluar dari kerajaan PH Selangor sekiranya Liu tidak hormat pimpinan tinggi PH.
“Ini adalah tindakan protes saya kepada DAP yang saya lihat semakin hari semakin kuat bermuka-muka dan rasis,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu Ketua Pembangkang Selangor Rizam Ismail (Sungai Air Tawar-Umno) berkata beliau dihubungi oleh Shaid yang menyuarakan kesediaan untuk jadi pembangkang.
“Saya menerima dengan hati terbuka jika benar YB Shaid Rosli sanggup meninggalkan Pakatan Harapan yang sedang berkuasa demi mempertahankan apa yang beliau rasa benar,” katanya.
Awal tahun ini, Shaid mencetuskan kontroversi apabila mengedarkan beg dan seragam sekolah dengan jenamanya sendiri yang memaparkan wajahnya sebagai logo.
Tindakannya dikritik kerana sama seperti amalan pemimpin Barisan Nasional yang mengagihkan bantuan seperti beras dan baja dalam bungkusan memaparkan wajah pemimpin parti. – 23 Oktober, 2019.
Komen