BEKAS menteri besar Johor Osman Sapian antara calon yang disenarai pendek oleh Bersatu untuk diketengahkan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai bulan depan, kata setiausaha agung parti Marzuki Yahya.
Katanya, nama Osman dicadangkan oleh akar umbi namun Bersatu masih belum membuat keputusan memilih calon parti.
“Ada juga nama beliau tersenarai tapi kita belum buat keputusan lagi.
“Cadangan dari akar umbi letak nama beliau dan beberapa nama lain,” katanya kepada wartawan di lobi Parlimen.
Marzuki mengulas poster ucapan tahniah kepada Osman atas pemilihannya sebagai calon Bersatu dalam PRK yang tular sejak dua hari lalu.
Ditanya mengenai pengumuman calon Tanjung Piai, Marzuki berkata ia akan dibuat dalam masa terdekat.
“Kita ada cadang beberapa tarikh tapi belum putuskan,” katanya.
Ketua Bahagian Bersatu Tanjung Piai Karmaine Sardini sebelum ini dilapor berkata Pakatan Harapan (PH) dijangka mengumumkan nama calonnya pada 30 Oktober ini di Pontian.
Kelmarin, Osman menyifatkan berita beliau jadi calon di Tanjung Piai hanya khabar angin yang dimainkan pihak tertentu.
“Saya tidak tahu apa-apa. Saya sendiri terperanjat. Pagi ini (Isnin), telefon saya berdering-dering yang mana banyak pihak menghubungi saya serta mengucapkan tahniah atas pencalonan saya.
“Saya kira, pihak tertentu mainkan isu ini selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin (presiden Bersatu) ada mengeluarkan kenyataan tentang calon yang bakal dipilih baru-baru ini,” katanya, seperti dipetik Sinar Harian.
Beliau menyerahkan kepada pucuk pimpinan untuk menentukan calon dan berikrar akan memberi sokongan agar kerusi itu kekal milik PH.
Osman anak tempatan Tanjung Piai, kriteria yang disebut oleh Muhyiddin.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan penamaan calon pada 2 November ini sebelum pengundian pada 16 November.
PRK Tanjung Piai diadakan berikutan kematian penyandangnya, Dr Md Farid Md Rafik, 42, yang juga timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri kerana serangan jantung pada 21 September lalu. – 23 Oktober, 2019.
Komen