Sasaran WKB2030 mencabar tetapi sangat diperlukan


Sheridan Mahavera

WKB2030 dilancarkan pada 5 Oktober oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan merupakan pelan ekonomi 10 tahun PH. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Oktober, 2019.

AGENDA ekonomi baharu Pakatan Harapan (PH) mempunyai sasaran sangat mencabar, akui seorang arkiteknya, tetapi rakyat Malaysia harus mencapainya jika mahu ekonomi yang benar-benar memenuhi keperluan golongan kaya dan miskin.

Antara sasaran yang menarik perhatian dalam buku panduan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030) adalah untuk memastikan isi rumah B40 memperoleh pendapatan bulanan sewajarnya sebanyak RM5,800.

Tinjauan terkini Jabatan Statistik berhubung pendapatan meletakkan pendapatan median semasa bagi isi rumah B40 pada tahap RM3,000 sebulan.

WKB2030 juga mahu meningkatkan pampasan pekerja bagi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kepada 48% berbanding 35.7% - yang bermaksud setiap ringgit dihasilkan ekonomi, 48 sen pergi kepada pekerja.

Tetapi untuk melakukan ini, ekonomi mesti mengekalkan kadar pertumbuhan KDNK sebanyak 4.7% pada harga sebenar atau 7% pada harga nominal setiap tahun hingga 2030, kata Mohd Nizam Mashar daripada Institut Masa Depan Malaysia (Masa).

Sasaran KDNK yang tinggi adalah perlu kerana Malaysia perlu menjana output ekonomi bernilai tinggi untuk merangsang pendapatan pekerja dan mengurangkan jurang kekayaan antara pelbagai komuniti dan wilayah, kata Nizam yang merupakan ketua pegawai eksekutif Masa.

Menurut WKB2030, sejarah Malaysia membuktikan perbezaan pendapatan mengancam perpaduan dan keamanan negara.

Nizam menambah, sasaran WKB2030 hanya berjaya jika kerajaan mempunyai keinginan politik untuk menyusun semula model ekonominya yang selama ini rendah dari segi nilai, upah dan kemahiran.

“Ia termasuk sektor swasta agar mempercayai hala tuju ini. Sekurang-kurangnya terdapat kejelasan mengenai apa yang perlu industri fokuskan dan komitmen kerajaan untuk menyediakan ekosistem lebih baik,” kata Nizam kepada The Malaysian Insight.

“Ia juga merupakan peluang bagi rakyat meningkatkan rantaian nilai. Seperti disebut perdana menteri, milik kemakmuran bersama ini dipulangkan semula kepada rakyat secara keseluruhan.

“Jika anda mahu merealisasikannya, maka anda perlu percaya ia boleh dilakukan.”

WKB2030 dilancarkan pada 5 Oktober oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan merupakan pelan ekonomi 10 tahun PH.

Institut Masa adalah badan pemikir yang membantu pentadbiran PH merangka WKB2030 bersama dengan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi.

Tiga sasaran WKB2030 adalah untuk menyusun semula ekonomi; menangani ketidaksamaan kekayaan dan pendapatan merentas komuniti etnik, wilayah dan kelas; dan untuk membina sebuah negara bersatu dan makmur yang merupakan kuasa besar serantau.

Prinsip panduan WKB2030 menyatakan ia akan mencapai sasaran ini melalui tujuh teras strategik, termasuk penyusunan semula ekosistem perniagaan dan industri, meningkatkan aktiviti pertumbuhan ekonomi utama dan membangunkan modal insan. – 23 Oktober, 2019.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen