HISHAMMUDDIN Hussein hari ini mempersoalkan bilakah Kementerian Pertahanan akan membentangkan Kertas Putih Pertahanan selepas Mohamad Sabu sudah enam kali berjanji berbuat demikian.
Bekas menteri pertahanan itu berkata janji kerajaan Pakatan Harapan itu bermasalah kerana ia sering digunakan untuk menjawab pertanyaan pembangkang mengenai aset pertahanan negara.
“Masalahnya sekarang Kementerian Kewangan sudah enam kali berjanji akan membentangkan Kertas Putih,” katanya menambah yang janji terbaru ia akan dibentangkan Disember ini dibuat pada perhimpunan bulanan kementerian pada 14 Oktober lalu.
“Kita tunggu dan lihat sahajalah sama ada ia betul-betul akan dibentangkan kali ini,” katanya ketika membahasakan Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat hari ini.
Hishammuddin turut membangkitkan kebimbangannya tentang hala tuju Kementerian Pertahanan yang kini diterajui Mohamad Sabu.
Beliau yang juga ahli Parlimen Sembrong berkata peruntukan RM15.6 bilion dalam Belanjawan 2020 tidak boleh digunakan untuk mengukur keseriusan kerajaan dalam aspek pertahanan negara.
Ini kerana jumlah itu lebih kurang serupa dengan peruntukan tahun lepas, tetapi tiada inisiatif besar atau pelan strategik dilancarkan, katanya lagi. – 22 Oktober, 2019.
Komen