Biar Dr Mahathir kekal PM habis penggal, kata Azmin


Diyana Ibrahim Lee Chi Leong

Mohamed Azmin Ali berkata pihak yang menuduh beliau bersekongkol untuk mewujudkan sebuah kerajaan baharu adalah dalang yang sebenarnya mahu menubuhkan kerajaan ikut jalan pintu belakang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Oktober, 2019.

DR Mahathir Mohamad perlu kekal sebagai perdana menteri sehingga tamat penggal pentadbirannya, sesuai dengan mandat yang diberikan rakyat dalam pilihan raya umum lalu, kata Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali.

Kata Azmin, pihak yang menuduh beliau bersekongkol dengan pihak tertentu untuk mewujudkan sebuah kerajaan baharu adalah dalang yang sebenarnya mahu menubuhkan kerajaan ikut jalan pintu belakang.

Beliau bagaimanapun tidak menamakan pihak berkenaan.

“Jadi kalau ada pihak yang nak mengubah pentadbiran dan kerajaan lebih awal daripada itu, dua tahun atau satu tahun, itulah sebenarnya kerajaan pintu belakang

“Sepatutnya biarlah Dr Mahathir kekal sebagai perdana menterI hingga selesai tempoh penggal ini kerana itu mandat diberikan rakyat,” katanya kepada wartawan di lobi Parlimen.

Azmin mengulas dakwaan ada komplot untuk mewujudkan kerajaan baharu tanpa Amanah dan DAP yang digerakkan bekas naib presiden Umno, Hishammuddin Hussein.

Beliau berkata tuduhan terhadapnya membuktikan kumpulan berkenaan terdesak dan tidak menghormati sistem demokrasi negara.

Azmin menggesa mereka menghormati mandat diberikan rakyat dalam pilihan raya lepas apatah lagi PH juga memutuskan tiada sebarang tempoh ditetapkan bagi peralihan jawatan perdana menteri. – 22 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen