Isu korum dibangkitkan kerana alasan politik, kata PM


Ravin Palanisamy

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata isu korum bukanlah perkara disiplin dan ia berlaku di negara lain juga. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Oktober, 2019.

ISU tidak cukup korum di Parlimen biasanya dibangkitkan kerana sebab politik, tetapi ahli Parlimen sudah diberi peringatan yang mereka perlu menghadiri persidangan, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

“Kita membincangkan perkara ini dalam Kabinet dan mendapati beberapa menteri di luar negara kerana terlalu banyak pertemuan antarabangsa yang harus mereka hadiri, sementara yang lain ada urusan lain.

“Sesetengahnya berada dalam bangunan, bukan hanya di Dewan. Jadi, mereka boleh memanggilnya dengan membunyikan loceng.

“Kita sudah beri amaran kepada mereka. Mulai sekarang, mereka perlu hadir,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen.

Dr Mahathir mengulas mengenai insiden minggu lalu apabila prosiding Dewan Rakyat terpaksa dihentikan kerana korum tidak mencukupi.

Beliau berkata isu korum bukanlah perkara disiplin dan ia berlaku di negara lain juga.

“Saya juga menyaksikan hal ini dalam Kongres Amerika Syarikat, apabila hanya seorang yang bercakap tetapi mereka tidak pernah membangkitkan sebarang masalah mengenai korum.

“Kadang-kala, isu korum ini dibangkitkan atas alasan politik.” – 22 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen