PERUNTUKAN dan bantuan yang diumumkan oleh kerajaan di Tanjung Piai bukan untuk menarik sokongan atau undi rakyat menjelang pilihan raya kecil di kawasan itu kelak, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
Beliau berkata pengumuman peruntukan di kawasan tersebut hanyalah secara kebetulan dan ia tidak dilakukan sewaktu kempen PRK Tanjung Piai bermula.
“Kalau kita dah umum, dah sedang ada kempen itu tidak baik la kalau umum apa-apa bantuan.
“Tetapi pada kebiasaannya, memang ada rancangan tapi sebolehnya, tidak guna rancangan ini sebagai umpan untuk menarik sokongan,” katanya kepada wakil media di lobi Parlimen.
Beliau berkata demikian mengulas kritikan Ketua Pembangkang Ismail Sabri mendakwa PH menyalahgunakan kedudukannya dan jentera kerajaan menjelang PRK Tanjung Piai.
Ismail berkata PH memungkiri janjinya untuk memastikan pilihan raya bebas dan adil dan melakukan perkara yang bersesuaian dengan kepentingannya.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Salahuddin, Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Abdul Rahman dan Menteri Pembangunan Luar Bandar Rina Harun mengumumkan peruntukan di Tanjung Piai.
Salahuddin mengumumkan peruntukan sebanyak RM3 juta untuk naik taraf jeti nelayan di Tanjung Piai.
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Rina Harun minggu lalu menyampaikan geran Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) kepada ketua kampung dalam kawasan Parlimen Tanjung Piai.
Beliau juga mengumumkan pemasangan lampu jalan di jajaran jalan raya luar bandar di Tanjung Piai dengan kos RM127,776, untuk keselamatan pengguna pada waktu malam.
Sementara itu, Syed Saddiq pada hujung minggu lalu mengumumkan peruntukan persekutuan RM4 juta untuk naik taraf kemudahan sukan dan rekreasi di Tanjung Piai. – 22 Oktober, 2019.
Komen