PEGUAM dan aktivis Siti Kasim mahukan sebuah kumpulan pendesak yang mewakili suara rakyat Malaysia yang progresif dan liberal yang kini tenggelam ditelan suara mereka yang mengangkat agenda perkauman dan agama.
Dengan impian itu, beliau mendirikan sebuah badan atas nama “Malaysian Action for Justice and Unity Foundation” atau singkatannya Maju pada 28 Ogos lalu. Sambutan terhadap badan itu cukup menggalakkan, katanya.
Sehingga hari ini, ia mendapat dukungan 600 ahli dan angka itu terus bertambah.
“Dari satu segi, ia sesuatu yang menggalakkan bagi sebuah pertubuhan baharu. Orang agak berminat,” kata Siti kepada The Malaysian Insight.
Maju diilhamkan daripada American Civil Liberties Union, yang diasaskan oleh aktivis dan pengarang Helen Keller yang cacat penglihatan dan pendengaran, demi mempertahan dan melindungi hak individu serta kebebasan yang dijamin atas setiap insan di bawah perlembagaan Amerika Syarikat.
“Maju ini lebih sebagai kumpulan pendesak. Kumpulan pendesak yang membawa suara rakyat Malaysia, yang progresif, sederhana dan liberal.
“Saya rasa orang perasan suara konservatif atau suara yang ada agenda tersendiri, iaitu memainkan isu kaum dan agama, sekarang ini lebih lantang dan mereka tiada saluran untuk bersuara mengenainya,” jelas Siti.
Siti dan rakan-rakannya berhasrat mendidik rakyat mengenai hak mereka sebagai warganegara kerana pengetahuan itu tidak meluas dalam kalangan rakyat Malaysia.
“Kita juga akan mengajar orang tentang pemberdayaan dan hak kerana kita sedar banyak orang tidak tahu tentang hak mereka dan mereka takut untuk bersuara, takut kena tangkap dan sebagainya,” katanya.
Beliau berharap kerajaan akan memberi perhatian kepada Maju kerana ia mewakili suara yang mengundi mereka.
Jelajah
Siti mempunyai rencana jangka panjang untuk Maju tetapi buat masa ini fokusnya ialah menganjurkan seminar, persidangan dan ceramah untuk mencetuskan kesedaran.
Maju akan mengadakan siri ceramahnya yang pertama pada 13 November ini untuk menjelaskan mengenai penubuhannya.
Pada masa akan datang, Maju juga merancang membuka dana bantuan perundangan untuk kebebasan sivil.
“Kalau kita rasa kes yang dibawa kepada kita ada kepentingan umum, kita akan ambil dan kita akan biayai kes itu,” katanya.
Ditanya tokoh terkenal yang menyertai Maju selain dirinya, Siti berkata perkara itu tidak mustahak kerana beliau tidak mahu badan itu terpalit dengan politik.
“Tiada ahli majlisnya yang dikenali kecuali saya.
“Maju ialah satu impian yang saya perjuangkan untuk semua rakyat Malaysia. Kita sudah cuba beritahu kerajaan, jangan politikkan agama dan kaum kerana itulah punca semua masalah kita,” katanya.
Beliau menambah rakyat perlu sedar akan retorik politik pecah belah supaya tiada hak mana-mana pihak yang dipergunakan.
“Kita perlu mengajar orang ramai kenapa kita kata kepada kerajaan jangan buat ini supaya mereka faham.
“Kita bukannya menentang agama atau sesiapa tetapi tidak baik untuk masa depan negara apabila kita benarkan ahli politik memainkan isu agama.
“Mereka ambil kesempatan atas isu ini kerana mereka mahu terus berkuasa,” katanya. – 27 Oktober, 2019.
Komen