'Kegagalan Malaysia dapat tempat dalam Majlis Hak Asasi Manusia PBB perlu diperjelas'


Noel Achariam

PARLIMEN berhak untuk tahu mengapa Malaysia gagal dalam usaha untuk mendapat undian bagi kerusi Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kata Ahli Parlimen Kluang Liew Chin Tong.

Liew yang juga pengarah pendidikan politik DAP berkata, beliau akan menghantar soalan parlimen kepada Menteri Luar Anifah Aman untuk meminta beliau menjelaskan kegagalan Malaysia itu pada sidang Parlimen 24 Oktober depan. 

“Saya akan hantar soalan kepada Anifah pada peluang pertama yang ada untuk penjelasan mengapa Malaysia gagal. 

“Ia amat mengejutkan dalam usaha diplomatiknya dan Parlimen berhak untuk tahu apa yang terjadi,” katanya dalam satu kenyataan. 

Malaysia tewas kepada Afghanistan, Nepal, Pakistan dan Qatar dalam usaha mendapatkan satu daripada 15 kerusi dalam Majlis Hak Asasi Manusia PBB. 

Ini merupakan kali kedua berturut-turut buat Qatar selepas menang undian semula. 

Anifah sebelum ini berkata kos untuk Malaysia melobi dan berkempen untuk kedudukan itu perlu didedahkan di Parlimen. 

Undian yang diadakan pada Perhimpunan Agung PBB itu dijalankan secara undian rahsia melibatkan 193 negara. 

Ahli baru yang dipilih untuk Majlis Hak Asasi yang berpangkalan di Geneva itu adalah Afghanistan, Angola, Australia, Chile, Republik Demokratik Kongo, Mexico, Nepal, Nigeria, Pakistan, Peru, Qatar, Senegal, Sepanyol dan Ukraine. 

Kesemua negara terbabit akan mula berkhidmat pada 1 Januari tahun depan sehingga 2020. 

Ini merupakan kali ketiga Malaysia melobi untuk kerusi majlis berkenaan selepas dua cubaan pada 2006 hingga 2009 dan 2010 hingga 2013.

Malaysia yang mendapat 129 undi, merupakan satu-satunya negara yang tewas kerana hanya 16 buah negara bersaing untuk merebut 15 kerusi selepas Maldives menarik diri. 

Dalam kalangan lima negara yang bersaing untuk empat kerusi majlis itu yang diperuntukkan kepada negara rantau Asia Pasifik, Malaysia berada di tangga kedua ranking kebebasan. 

Diilhamkan pada Perhimpunan Agung PBB pada 2006, majlis yang terdiri daripada 47 ahli itu bertanggungjawab memperkasakan promosi dan perlindungan hak asahi manusia di seluruh dunia, mengetengahkan dan membuat cadangan berhubung pelanggaran hak asasi manusia. – 19 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen