DR Mahathir Mohamad patut kekal sebagai perdana menteri selagi beliau mampu menjalankan tugasnya sementara presiden PKR, Anwar Ibrahim boleh menunggu, kata Setiausaha Agung Umno Annuar Musa hari ini.
Annuar berkata Dr Mahathir mempunyai pengalaman, rekod prestasi yang baik dan menjalankan tugas dengan baik.
Beliau menambah Dr Mahathir tidak perlu tergesa-gesa melepaskan jawatannya dan menyerahkannya kepada Anwar.
“Dengan pengalaman Dr Mahathir dan menjadi faktor penyatu dalam Pakatan Harapan (PH), saya secara peribadi berasa beliau sepatutnya terus memimpin selagi mampu menjalankan tugasnya.
“Tidak baik bagi saya sebagai ahli pembangkang mengatakan perkara ini tetapi pembangkang akan tetap berada pada kedudukannya sehingga pilihan raya akan datang.
“Jika Dr Mahathir sihat (saya berdoa kepada Allah beliau terus sihat) dan masih dapat mencurahkan bakti selagi umur panjang untuk memulihkan Malaysia, mengapa tidak? Saya yakin Anwar boleh menunggu,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen.
Annuar, yang merupakan ahli Parlimen Ketereh berkata peralihan kuasa boleh memberi kesan besar kepada negara dan ekonomi.
Beliau menambah, desakan agar Dr Mahathir melepaskan jawatannya akan mewujudkan ketidakstabilan dalam PH dan memberi impak kepada negara secara keseluruhannya.
Kenyataannya itu susulan khabar angin mengenai usaha untuk menggagalkan rancangan peralihan kuasa.
Minggu lalu, Anwar berkata beliau diberitahu oleh Ahli Parlimen Sembrong Hishammuddin Hussein yang berharap dapat membentuk kerajaan baru dengan PH tanpa parti komponen DAP dan Amanah.
Anwar berkata demikian ketika ditanya siapa yang memberikannya PH maklumat yang Hishammuddin dan kuncunya sedang berunding untuk menyingkirkan DAP dan Amanah.
“Saya bertanya kepada Sembrong,” katanya di lobi Parlimen selepas setiausaha agung PH mengeluarkan kenyataan, memberi amaran kepada Hishammuddin supaya tidak menggugat mandat rakyat.
Hishammuddin segera menepis cakap-cakap itu dengan mengatakan beliau tidak mempunyai kedudukan untuk melakukan perkara seperti itu.
Bulan lepas, Anwar mengulangi yang beliau akan menggantikan Dr Mahathir pada tahun 2020. – 21 Oktober, 2019.
Komen