KDN belum putuskan haram komik Hew, kata timbalan menteri


Diyana Ibrahim Lee Chi Leong

KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) belum memutuskan sama ada mahu mengharamkan atau tidak komik kontroversi “Inisiatif Jalur dan Jalan – Meraih Manfaat Bersama”, kata timbalan menterinya Mohd Azis Jamman.

Katanya, buat masa ini, komik itu dilarang edarannya di sekolah oleh Kementerian Pendidikan dan larangan itu tidak membabitkan KDN.

“Keputusan daripada mereka (Kementerian Pendidikan) tapi setakat ini saya masih tak dapat apa gambaran atau sama ada ia haramkan,” katanya kepada wartawan di lobi Parlimen.

Minggu lalu, Kementerian Pendidikan melarang pengedaran komik itu ke mana-mana institusi pendidikan di seluruh negara selepas didakwa mengandungi unsur propaganda politik.

Komik itu diterbitkan pada April 2019 oleh Muzium Kebudayaan Komik Asia di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar), dengan kerjasama kolektif antara kurator Dr Hew Kuan Yau dan artis komik tempatan, Ching Po Ling.

 

Hew juga merupakan bekas ahli DAP meletak jawatan pada 2016.

Pengedaran komik secara percuma itu dikritik Najib Razak yang mendakwa kandungan buku itu menyebarkan propaganda politik mengancam orang Melayu.

Arahan pengharaman yang dibuat Kementerian Pendidikan itu turut mendapat bantahan daripada 43 pemimpin akar umbi, termasuk beberapa Adun daripada DAP.

Mengulas lanjut, Azis berkata sebarang keputusan akan diputuskan selepas habis siasatan. – 21 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen