Pakatan salah guna jentera kerajaan di Tanjung Piai, kata pembangkang


Ravin Palanisamy

Ketua pembangkang Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan PH salah guna kedudukan dan jentera kerajaan dalam cubaan membeli undi di PRK Tanjung Piai. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Oktober, 2019.

KERAJAAN Pakatan Harapan (PH) menyalahgunakan kedudukannya dan jentera kerajaan menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai, kata ketua pembangkang Ismail Sabri Yaakob, perkara yang ia tuduh dilakukan Barisan Nasional (BN) ketika ia berkuasa dulu.

Ismail Sabri berkata PH memungkiri janjinya untuk memastikan pilihan raya bebas dan adil dan melakukan perkara yang bersesuaian dengan kepentingannya.

“Dulu mereka kata jangan beli undi sebelum pilihan raya, jangan guna jentera kerajaan, angan guna kedudukan dalam kerajaan untuk beli undi.

“Tetapi sekarang, mereka buat begitu dan beli undi dengan mengumumkan peruntukan RM4 juta..RM5 juta,” katanya yang juga ahli Parlimen Bera di lobi Parlimen hari ini.

Pada hujung minggu lalu, anggota kerajaan PH ke Tanjung Piai dan mengumumkan beberapa projek.

Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Abdul Rahman mengumumkan sejumlah RM4 juta diperuntukkan untuk kawasan itu bagi menambah baik beberapa kemudahan sukan dan rekreasi.

Ahli Parlimen Muar itu berkata peruntukan berkenaan sebahagian daripada RM14.6 juta yang diminta oleh allahyarham Md Farid Md Rafiq, bekas ahli Parlimen Tanjung Piai yang meninggal dunia kerana masalah jantung.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Salahuddin Ayub pula mengumumkan Putrajaya menaik taraf tiga jeti nelayan di kawasan Tanjung Piai dengan peruntukan RM3 juta.

Katanya, ia dijangka dapat melonjak ekonomi dan meningkatkan kehidupan nelayan dan masyakat setempat di kawasan itu.

Beliau berkata projek itu akan bermula awal tahun depan, termasuk Jeti Jeram Batu di Pekan Nenas; Jeti Pengkalan Penghulu di Mukim Serkat dan Jeti Sungah Boh di Mukim Air Masin.

Badan pemantau pilihan raya Bersih berkata mana-mana menteri yang berniat untuk memenuhi hasrat Farid sepatutnya menunggu hingga PRK itu selesai.

Pengerusi Bersih Thomas Fann berkata mana-mana dana persekutuan yang disalurkan ketika persediaan untuk PRK itu boleh dianggap sebagai cubaan membeli undi. – 21 Oktober, 2019.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen