WALAUPUN China dianggap sebagai rakan, bukan tugas Malaysia untuk mempromosikan idea dan ideologinya, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini.
“Malaysia sentiasa menganggap China sebagai rakan kecuali bagi tempoh tertentu pada awal kemerdekaan kita ketika China mengamalkan komunisme yang mungkin boleh tersebar ke Malaysia. Kita tidak mahu begitu,” katanya pada persidangan Malaysia Beyond 2020.
Dr Mahathir berkata walaupun beliau percaya China akan memberikan pengaruh hebat kepada dunia, Malaysia tidak akan terbawa-bawa dengannya.
Menambah perasaan perkauman masih dominan di Malaysia, Dr Mahathir berkata beliau tidak mahu rakyat berfikir negara ini berada di bawah pengaruh China.
“Pada masa ini, kita tidak mempromosikan idea dan ideologi China tetapi mencari cara bagaimana kita boleh mendapat manfaat daripadanya,” katanya.
“Sama seperti kita tidak suka pengaruh Barat dalam strategi dan sekolah kita. Kita tidak mahu mana-mana negara lain ada pengaruh terhadap golongan belia kita.”
Beliau menjawab soalan daripada peserta berkenaan inisiatif “Belt and Road” dan kontroversi buku komik baru-baru ini berkaitan projek itu. – 21 Oktober, 2019.
Berita penuh di sini.
Komen