PILIHAN produk terhad dan kekurangan promosi menyebabkan perniagaan di Mara Digital Mall tidak berdaya maju, kata peniaga yang ditemui The Malaysian Insight.
Mereka juga tidak berpuas hati dengan pembekal tunggal yang didakwa menindas peniaga dan gagal membekalkan produk yang mencukupi.
Peniaga Mohd Azim Mohd Asrop, 31 ketika ditemui berkata jualannya mula merudum selepas dua tahun Mara Digital beroperasi di bangunan Busana@Menara Mara, Jalan Tuanku Abdul Rahman.
Jelasnya, pada awal kewujudan Mara Digital di tingkat tiga bangunan tersebut, banyak promosi dilakukan termasuk pameran di tingkat bawah ruang legar Busana@Menara Mara.
“Tetapi sudah lama tidak ada. Tempat ini (lebih) dikenali sebagai (tempat) jual baju. Kalau tidak ada promosi, siapa tahu ada jual komputer di atas ini.
“Promosi kena berterusan sebab perlu bersaing dengan tempat lain seperti Low Yat dengan Kompleks Pertama. Ada juga yang ingat tempat ini sudah ditutup,” katanya.
Mara Digital di bangunan Menara Mara itu merupakan ruang niaga pertama yang dibuka pada Disember 2015 kepada pengusaha bumiputera menjual produk IT pengguna.
Sejak itu, tiga lagi ruang sama dibuka – di Kuantan, Johor Bahru dan Shah Alam. Kesemuanya kini tinggal menjadi sejarah.
Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) minggu ini mengumumkan operasi Mara Digital Mall di Kuantan dan Johor Bahru dihentikan disebabkan kadar jualan yang rendah.
Ia tidak setimpal dengan kos operasi perniagaan dan menyebabkan penyewa mengambil keputusan untuk tidak meneruskan operasi, menurut menterinya dalam satu kenyataan.
Mara Digital di Shah Alam pula ditutup sejak Mac 2018 namun penjual masih beroperasi di kiosk apabila kawasan itu dibuka semula lima bulan kemudian sebagai Pusat Transformasi Bandar.

Hanya Mara Digital di Menara Mara Kuala Lumpur yang masih beroperasi dengan 11 lot kedai dan 16 kiosk melibatkan 11 orang usahawan.
Seorang daripadanya Khairi Suarman, 34, yang kecewa kerana tiada penambahbaikan dibuat oleh pihak pengurusan pusat membeli belah itu sejak hampir empat tahun lalu.
Pelanggan mula hilang minat untuk kembali atau mencari barang digital kerana tidak banyak produk yang ditawarkan disebabkan ruang perniagaan yang terhad, katanya.
“Dulu ada dengar rancangan buka dua, tiga tingkat tetapi sampai sekarang macam ini juga. Pernah ada syarikat kamera hendak masuk niaga di sini tetapi tidak tahu kenapa tidak jadi,” katanya.
Tambah beliau, Mara Digital mempunyai potensi jika dijadikan pusat setempat produk digital yang menawarkan pelbagai produk, namun ia tidak berlaku.
“Sepatutnya produk macam ini kena pelbagaikanlah. Bukan setakat jual laptop dengan telefon bimbit sahaja. Kalau boleh dron pun jual. Ini printer pun tidak banyak model kat sini,” katanya.
Mengulas perkara itu, seorang lagi peniaga yang enggan dinamakan berkata masalah tersebut berpunca daripada penindasan oleh syarikat pembekal tunggal.
Peniaga itu berkata, syarikat WGN Scan Sdn Bhd (WGN) gagal membekalkan produk yang mencukupi kepada peniaga sehingga menyebabkan pelanggan lari.
Menurut peniaga itu lagi, WGN juga mengenakan penalti yang tinggi kepada peniaga sekiranya didapati mengambil produk dari pembekal yang lain.
“Mereka kawal ketat. Produk kita kena ambil dengan dia tetapi bila kita order, tidak ada stok. Apbila kita hendak ambil dari pembekal luar, kena bayar caj.
“Ini tambah beban, bukan hendak bantu lagi dah.
“Kalau kita bawa masuk (stok dari pembekal lain) senyap-senyap pula, lepas itu abila (pengurusan dapat tahu), lagi teruk penalti,” katanya.
Beliau juga kecewa kerana banyak cadangan yang dikemukakan kepada syarikat itu tidak diendahkan.
Mara Digital ditubuhkan pada 2015 oleh Menteri Luar Bandar dan Wilayah ketika itu, Ismail Sabri Yaakob sebagai sebuah pusat IT khas untuk golongan Bumiputera.
Idea itu tercetus ekoran kontroversi yang timbul akibat pergaduhan kumpulan Melayu dan Cina di pusat IT di Plaza Low Yat, yang berpunca daripada jenayah kecurian telefon.
Ia adalah rentetan daripada polemik yang ditimbulkan berkaitan kes berkenaan, antaranya berhubung masalah penguasaan peniaga Melayu dalam bidang jualan barangan IT. – 21 Oktober, 2019.
Komen