Ramasamy yakin isu LTTE tak jejas DAP


Zaim Ibrahim

Timbalan ketua menteri Pulau Pinang II P. Ramasamy mempersoalkan tindakan terbaru PAS mengaitkan DAP dengan jaringan pengganas antarabangsa melalui tuduhan berkait LTTE. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Oktober, 2019.

PEMIMPIN kanan DAP P Ramasamy percaya isu mengaitkan parti itu dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) tidak akan memberi kesan kepada parti tersebut.

Dakwanya, isu LTTE sengaja ditimbulkan musuh politik DAP untuk menggambarkan parti itu sebagai anti-Islam dan anti-Melayu.

“Saya yakin, isu LTTE tiada kesan terhadap DAP. Kalau betul saya ahli LTTE, parti DAP pun tidak akan terima saya.

“Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng pun tahu, penglibatan saya di Sri Lanka bukannya menyokong LTTE tetapi sebagai perunding perdamaian,” kata kepada The Malaysian Insight.

Beliau juga yakin Adun Gadek, G Saminanthan dari Melaka dan Adun Seremban Jaya, P Gunasekaran tiada kaitan dengan LTTE dan hanya menyokong perjuangan nasionalis masyarat Tamil Sri Lanka.

“Saya rasa mereka tidak patut ditahan. Saya kenal Guna lebih 15 tahun, beliau seorang yang lembut.

“Kemungkinan beliau ada sikap nasionalisme Tamil dan mahu menyatakan simpati kepada magsa peperangan di Sri Lanka yang berlaku pada 2009.

“Saya rasa itu tidak salah dan majlis itu juga adalah majlis memperingati tragedi perang. Saminanthan pula seorang yang merendah diri,” kata Ramasamy.

Polis hari ini mengesahkan tujuh suspek ditahan setakat ini kerana cuba menghidupkan kembali kumpulan pengganas LTTE. – Gambar PDRM, 10 Oktober, 2019.

Beliau turut mempersoalkan tindakan terbaru PAS mengaitkan DAP dengan jaringan pengganas antarabangsa melalui tuduhan berkait LTTE.

Katanya, isu berkenaan LTTE tidak timbul sewaktu PAS bekerjasama dengan DAP dalam Pakatan Rakyat, sedangkan pada waktu itu perang saudara meletus di Sri Lanka.

“Kemuncak LTTE di Sri Lanka adalah 2009. Sewaktu itu, PAS tidak pernah pula timbulkan isu LTTE kepada DAP,” jelasnya.

Ramasamy juga menepis kenyataan polis yang mengumumkan terdapat usaha menghidupkan kembali LTTE di Malaysia.

“Tetapi LTTE tidak ada lagi. Lebih kurang 10 tahun, LTTE tidak ada, saya yakin LTTE tidak akan hidup lagi,” tambah beliau.

Isu muncul kembali susulan penahanan 12 individu, termasuk dua Adun DAP yang didakwa menyokong dan cuba menghidupkan semula kumpulan itu di Malaysia.

Kesemua yang ditahan diletakkan dibawah Akta Kesalahan Keselamatan, Langkah-Langkah Khas (SOSMA) 2012.

Beliau akan hadir untuk siasatan polis Bukit Aman hari ini berhubung tulisannya yang menyentuh peranan sebagai pendamai LTTE dan kumpulan pemisah lain.

Bukit Aman pada minggu lalu mengumumkan terdapat transaksi kewangan dalam jumlah yang besar untuk membiayai, mempromosi, merekrut dan menggerakkan program pengganas itu. – 21 Oktober, 2019.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen