Perlu akta untuk laksana sistem gaji berasaskan produktiviti, kata MTUC


Ragananthini Vethasalam

Tinjauan baru-baru ini mendapati hampir 90,000 syarikat melaksanakan PLWS dengan memberi manfaat kepada 4.43 juta pekerja termasuk pertambahan manfaat, produktiviti dan gaji. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Oktober, 2019.

SISTEM gaji berasaskan produktiviti sudah diperkatakan sejak beberapa tahun lalu tetapi pihak berkepentingan mendakwa pelaksanaan skim imbuhan baharu yang perlahan mungkin antaranya disebabkan kurang kesedaran dan kos pelaksanaan yang tinggi.

Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mencadangkan Sistem Gaji Berasaskan Produktiviti (PLWS) untuk dilaksanakan bagi memastikan majikan patuh kepada sistem imbuhan itu.

Namun kata kesatuan itu, sokongan daripada syarikat masih lemah dan majikan menyalahkan kesatuan kerana tidak terbuka kepada sistem gaji ini.

Tinjauan baru-baru ini mendapati hampir 90,000 syarikat melaksanakan PLWS dengan memberi manfaat kepada 4.43 juta pekerja termasuk pertambahan manfaat, produktiviti dan gaji.

Kerajaan pula berkata pihaknya akan terus memulakan usaha bersepadu bagi memastikan pelaksanaan PLWS dengan lebih meluas.

Bagi MTUC, presidennya, Abdul Halim Mansor berkata langkah pertama Putrajaya adalah meluluskan Akta Sistem Gaji Berasaskan Produktiviti.

Abdul Halim memberitahu The Malaysian Insight bahawa PLWS merupakan model imbuhan yang bagus kerana Kementerian Sumber Manusia sudah membincangkan perkara itu sejak 2000.

Abdul Halim berkata idea melaksanakan PLWS sudah dibincangkan dalam pelbagai forum yang dianjurkan kementerian dengan sasaran meningkatkan produktiviti syarikat dengan memastikan pekerja sentiasa berfikir secara inovatif.

Namun katanya sokongan daripada banyak syarikat masih lagi kurang.

“MTUC mencadangkan kepada kementerian bagi memperkenalkan Akta PLWS dan kenaikan gaji awal tahun kepada pekerja.

“Inisiatif kementerian untuk memperkenalkan akta ini akan secara tidak langsung menterjemahkan kepatuhan syarikat terhadap akta itu atau mereka akan dikenakan denda,” katanya.

Beliau berkata sistem ini akan memainkan peranan penting dalam pembangunan tenaga kerja dengan integriti yang tinggi.

“MTUC berharap kementerian dan Majlis Penasihat Tenaga Buruh Negara akan memandang serius PLWS dan akan meluluskan akta ini bagi meningkatkan produktiviti dan kemahiran tenaga kerja,” katanya. – 21 Oktober, 2019.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen