AKTIVIS dan kumpulan hak asasi masih bimbang dengan penggunaan berterusan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) yang membenarkan penahanan tanpa perbicaraan.
Mereka mendakwa undang-undang kuku besi itu perlu dihapuskan kerana melanggar hak asasi manusia selain sudah ada undang-undang lain yang cukup untuk menggantikan akta itu.
Aktivis yang juga merupakan peguam, S Ambiga berkata kepada The Malaysian Insight bahawa kewujudan akta menindas itu sangat mengarut.
“Saya tidak menolak bahawa kita memerlukan undang-undang keselamatan tetapi ia perlu dipantau oleh mahkamah dan pemerhatian keadilan.
“Selagi wujud, ia akan disalahguna. Ia bermaksud pihak berkuasa tidak perlu alasan kukuh untuk melakukan penahanan.
“Dengan kewujudan undang-undang sedia ada untuk membanteras keganasan, kenapa kita perlu mempunyai akta yang bersifat kuku besi sedangkan negara lain mempunyai ancaman keganasan yang lebih teruk,” katanya.
Dobby Chew dari Suara Rakyat Malaysia (Suaram) juga bersetuju dengan Ambiga.

Beliau berkata Sosma mempunyai kuasa untuk menahan suspek sehingga 28 hari berbanding undang-undang lain yang hanya membenarkan penahanan selama 14 hari dengan kelulusan mahkamah.
“Proses perbicaraan di bawah Sosma juga menimbulkan keraguan sama ada perbicaraan secara adil boleh dilaksanakan.
“Tahanan juga dinafikan ikat jamin dengan permohonan oleh pihak pendakwaan tanpa sebarang budi bicara,” kata Chew kepada The Malaysian Insight.
Penggunaan Sosma sekali lagi menjadi perhatian selepas polis menahan 12 lelaki termasuk dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) DAP, kerana disyaki mempunyai hubungan dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).
Minggu lalu, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menyokong polis untuk menggunakan akta itu bagi menahan kesemua suspek tersebut.
Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin juga berkata Malaysia tidak boleh memansuhkan Sosma kerana akta itu masih diperlukan untuk menangani keganasan sama ada di peringkat tempatan atau global.
Katanya tiada janji untuk menghapuskan akta itu dalam manifesto Pakatan Harapan (PH), sebaliknya akta itu akan dikaji semula.
Awal bulan ini, polis menahan 12 lelaki termasuk Adun DAP G. Saminathan dann P. Gunasekaren, kerana disyaki mempromosi, menyokong, menyalur dana dan memiliki bahan berkaitan LTTE.
Kesemua mereka ditahan mengikut Sosma yang membenarkan penahanan selama 28 hari.

Memperlekeh kedaulatan undang-undang
Di bawah Sosma, polis boleh menangkap dan menahan suspek atas kesalahan keselamatan.
Polis juga mempunyai kuasa untuk ‘menggantung’ hak suspek untuk bertemu keluarga dan peguam selama 48 jam.
Tiada ikat jamin dibenarkan bagi tahanan Sosma dan mereka akan ditahan sehingga proses perundangan selesai termasuk rayuan.
Pengarah Lawyers for Liberty (LFL) Melissa Sasidaran berkata Sosma merupakan undang-undang prosedur yang mengenepikan perlindungan asas seperti dalam undang-undang lain.
Katanya undang-undang ini menunjukkan suspek berkemungkinan besar tidak boleh mengelakkan perbicaraan dan akan disabitkan kesalahan.
“Keadaan ini memperlekehkan kedaulatan undang-undang dan sistem keadilan jenayah kita.
“Sosma tidak menepati standard antarabangsa untuk memberikan perbicaraan yang adil iaitu suspek perlu diberikan hak sewajarnya apabila berdepan pertuduhan jenayah.”
Melissa berkata Sosma tidak adil terhadap tertuduh semasa proses perbicaraan kerana bukti yang dikemukakan akan dipakai dalam perbicaraan melibatkan akta itu walaupun ianya tidak boleh diterima pakai.
Ini termasuk bukti yang diperoleh menerusi secara paksaan, penderaan atau pemalsuan asalkan bukti itu akan digunapakai dalam perbicaraan.

Beliau berkata tertuduh juga tidak boleh mencabar atau semasa sesi soal balas terhadap bukti yang dikemukakan kerana Sosma membenarkan perlindungan saksi untuk memberikan bukti tanpa perlu mendedahkan identiti.
Hal ini katanya bertentangan dengan standard perbicaraan adil.
“Dengan erti kata lain, perbicaraan di bawah Sosma adalah tidak adil kerana membenarkan identiti saksi dirahsiakan daripada tertuduh yang tidak boleh mencabar perkara itu,” katanya.
Ambiga juga membangkitkan penyalahgunaan Sosma pada masa lalu kerana ia jelas digunakan untuk tujuan politik.
“Kerajaan ini (PH) mengecewakan kita dalam soal melaksanakan pembaharuan terhadap undang-undang menindas.”
Katanya hal ini berlaku walaupun Sosma pernah digunakan terhadap kalangan mereka (pemimpin PH).
Sementara itu, Chew berkata negara memperlukan undang-undang yang sah dan berkesan untuk menangani keganasan.
“Jika kerajaan benar-benar mahu menangani keganasan, mereka perlu dasar holistik untuk membanteras ektremis dan program antiradikalisasi,” katanya. – 21 Oktober, 2019.
Komen