MCA Pulau Pinang hari ini membuat laporan polis dan menggesa siasatan dibuat berhubung kenyataan oleh seorang pengetua sekolah tahfiz yang dirakam video kenyataannya menggesa masyarakat Islam untuk tidak memotong rambut di kedai gunting rambut bukan Islam atau menghantar anak mereka ke sekolah yang diuruskan bukan Islam.
Parti itu juga mahu polis menyiasat kenyataan yang dibuat oleh exco agama Pulau Pinang Abdul Malik Abu Kassim, yang dilaporkan berkata negeri itu tidak mengawal komen yang dibuat oleh individu dari sekolah tahfiz.
Setiausaha MCA Pulau Pinang Dr Tan Chuan Hong berkata, sebagai pengetua sekolah agama, Shahul Hamid Seeni Muhammad sepatutnya mengajar kanak-kanak untuk saling menghormati.
Katanya, Shahul tidak sepatutnya menyampaikan kenyataan kontroversi, seperti menggesa masyarakat Islam untuk tidak menghantar anak mereka ke sekolah Cina dan menggesa masyarakat Islam memboikot serbuk kari yang dibuat oleh penganut Hindu.
Shahul dilaporkan memberitahu masyarakat Islam untuk memboikot serbuk kari jenama India pada 2014. Kenyataan itu mencetuskan pelbagai kritikan dan kemudiannya beliau meohon maaf di Facebooknya.
“Tiada peraturan dalam Islam untuk menghalang masyarakat Islam memotong rambut di kedai bukan Islam dan sebagai pengetua sekolah agama, Shahul Hamid sepatutnya tahu berkenaan perkara ini,” kata Tan kepada pemberita di perkarangan Balai Polis Jalan Patani pagi ini.
Laporan polis dibuat oleh Setiausaha MCA Pulau Pinang Ooi Teik Liang.
Tan juga berkata MCA Pulau Pinang tidak setuju dengan kenyataan yang dibuat oleh Malik, yang berkata semua orang mempunyai hak untuk menyuarakan pendapat mereka sendiri dan kebebasan untuk mentafsirnya.
Tan turut bertanya sama ada Malik menyokong Shahul memandangkan beliau menghormati kebebasan bersuara.
“Apa yang kamu faham dengan kebebasan bersuara? Bolehkah seseorang menyatakan isu sensitif secara umum dan membuat banyak kontroversi?
“Yang paling penting, MCA Pulau Pinang mahu tahu pendirian kerajaan Pulau Pinang berhubung isu ini. Adakah kerajaan negeri setuju masyarakat Islam tidak boleh memotong rambut dari orang bukan Islam? Bolehkah ia dijadikan fatwa di Pulau Pinang?” kata Tan.
Sementara itu, Malik ketika dihubungi berkata beliau tidak pernah menyatakan kerajaan negeri tidak dapat mengawal perkara itu.
“Saya tidak kata negeri tidak boleh kawal. Kita boleh sekat mereka daripada bercakap secara umum,” katanya mengulas berhubung laporan polis yang dibuat.
Ditanya sama ada kerajaan negeri boleh mengawal video orang yang membuat kenyataan tidak sesuai berhubung agama, Malik berkata undang-undang persekutuan sedia ada untuk menguruskan hal berkenaan.
Kenyataan Shahul mengenai potong rambut masyarakat Islam dan bukan Islam itu tersebar di Youtube sejak dua tahun lalu.
Sejak itu beliau menafikan menggunakan perkataan “haram” berhubung perkara itu, dan mempertahankan pendiriannya masyarakat Islam wajar mencari kedai gunting rambut yang diuruskan oleh orang Islam. – 19 Oktober, 2017.
Komen