Umno akan pecat ahli keluar parti tetapi tak mengaku, kata Johari


Alfian Z.M. Tahir

Pengerusi perhubungan Umno Wilayah Persekutuan itu mengatakan individu-individu berkenaan diberitahu beberapa kali untuk keluar daripada parti namun mereka enggan keluar daripada parti Melayu itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Oktober, 2019.

UMNO Wilayah Persekutuan merancang memecat ahli-ahli yang tinggalkan parti itu untuk menyertai Pakatan Harapan tetapi masih belum berbuat demikian, kata Johari Abdul Ghani.

Pengerusi perhubungan Umno Wilayah Persekutuan itu mengatakan individu-individu berkenaan diberitahu beberapa kali untuk keluar daripada parti namun mereka enggan keluar daripada parti Melayu itu.

“Kami tahu siapa mereka dan kami minta untuk mereka keluar, tetapi saya terkejut kerana mereka berani tuntut kami berikan bukti bahawa (mereka telah menyertai parti lain) sedangkan ramai di dalam Umno tahu pendirian mereka dalam politik.”

“Sudah tiba masanya untuk bersihkan Umno Wilayah Persekutuan, saya sedar ada bekas ketua bahagian yang jadi senator, ahli parlimen tetapi menyertai musuh kita, kita ada senarai nama mereka dalam Umno.”

“Apabila kita beritahu mereka, mereka minta bukti, adakah kita perlu bertemu dengan parti-parti dalam PH dan minta borang penyertaan mereka,” katanya semasa konvensyen Wilayah Persekutuan parti Melayu itu di ibu negara hari ini.

Konvensyen tersebut dirasmikan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

Johari menambah bahawa banyak ahli Umno yang sedar dan melihat bukti mengenai beberapa individu yang menyertai Pakatan Harapan tidak lama selepas parti itu kalah dalam pilihan raya umum yang lalu.

“Bagaimanapun, selepas kita memeterai kerjasama dengan PAS, mereka kini takut kerana pada mulanya mereka fikir Umno akan mati (selepas PRU14).”

“Kami tidak mahu beri perlindungan kepada pengkhianat di dalam parti ketika kami berusaha untuk membina semula parti, jika kami pelihara mereka, usaha keras kami akan sia-sia, kami tak boleh benarkan pengkhianat dapat tempat dalam Umno,“katanya kepada penonton. – 20 Oktober, 2019. 
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen