TAMBANG baharu yang dikenakan oleh MASwings kepada warga asing ke lokasi pelancongan popular itu mungkin akan terkesan dan menyebabkan mereka beralih ke destinasi lain, kata Lee Kim Shin.
Menteri pengangkutan Sarawak itu berkata, sebagai contoh kos RM946 yang dikenakan kepada warga asing untuk penerbangan dari Miri ke tapak warisan dunia Taman Negara Mulu adalah tidak rasional dan akan memberi impak negatif kepada industri pelancongan negeri.
Tambang baharu bagi laluan yang sama, yang berkuatkuasa 1 November adalah RM314 untuk warga Malaysia.
“Ini adalah tiga kali ganda lebih tinggi (yang perlu dibayar warga asing berbanding warga Malaysia).
“Untuk harga ini, mereka boleh ke destinasi lain di luar Sarawak,” kata Lee pada sidang media di Miri semalam.
Beliau turut menyatakan bagi penerbagan dari Miri ke Bario iaitu perkampungan Kelabit di kawasan tanah tinggi yang juga lokasi pelancongan, seorang pelancong asing perlu membayar RM1,037 untuk penerbangan pergi balik.
Tambang baharu ini akan memberi kesan kepada Kempen Melawat Sarawak, dan juga Kempen Melawat Malaysia 2020, kata Lee.
Katanya, beliau telah menulis surat kepada Menteri Pengangkutan Anthony Loke untuk mengadakan pertemuan bagi membincangkan mengenai perkara berkenaan.
Menurutnya, beliau sedang menunggu jawapan.
“Saya juga menggesa Mavcom (Suruhanjaya Penerbangan Awam Malaysia) untuk mengkaji semula tambang baru ini.
“Saya juga menggesa pihak berkenaan di Kuala Lumpur untuk memahami situasi kami di Sarawak yang berbeza dengan Semenanjung Malaysia. Kebanyakan kawasan di Sarawak mempunyai sistem perhubungan yang kurang baik dan kami tiada pilihan selain menggunakan kapal terbang.” – 20 Oktober, 2019.
Komen