SATU genre yang ingin dicuba sebagai penulis ialah travelog. Saya ringkaskan dan tolong jawab: Apakah anda akan membaca karya travelog dengan kisah-kisah berikut.
1. Tragedi Tak Bai, Thailand 2004
Apa itu Tragedi Tak Bai?
Peristiwa berdarah Tak Bai berlaku pada 25 Oktober 2001, di Narathiwat, Thailand. Satu tragedi pembantaian tembakan peluru hidup yang mengorbankan 78 demonstran Muslim.
Pada 1 Disember 2001 (36 hari selepas kejadian) saya masuk ke Selatan Thailand melalui sempadan Pangkalan Hulu ke Betong.
Keadaan di Yala, Pattani dan Narathiwat sangat tegang dengan aktiviti serangan hendap dan pengeboman terancang.
Di pos imigresen, saya tidak mengisytiharkan tujuan masuk sebagai wartawan. Saya hanya menyebut ingin berhibur di Betong.
Apa tujuan perjalanan ini?
Tentulah kerana ingin mencari bukti: apa sebenarnya di sebalik tindakan tentera Thailand menembak mati 78 demonstran.
Mengapa mangsa yang cedera parah digari dengan kabel tie dan dihumban dalam trak polis dalam keadaan bertindih-tindih?
Saya ingin membuktikan - tindakan ini satu kekejaman terancang terhadap minoriti Islam!
Apa punca rusuhan Tak Bai?
Peristiwa berdarah ini berlaku ketika 2,000 penduduk Islam keluar memprotes penahanan enam guru agama atas tuduhan merancang keganasan.
Insiden Tak Bai menjadi kemuncak ketegangan di selatan Thailand yang mengorbankan lebih 5,000 nyawa.
Mengapa sembunyikan identiti wartawan?
Tiga hari selepas kejadian rusuhan Tak Bai, kerajaan Thailand mengisytiharkan Undang-undang Tentera di tiga wilayah Islam Selatan Thailand. Wartawan tidak dibenarkan masuk ke kawasan Daerah Operasi Militer (DOM)
Dalam bahasa mudah: DOM bererti perintah darurat. Kuasa pentadbiran serta undang-undang diambil alih pihak tentera.
Ertinya, undang-undang tentera dilaksanakan dan undang-undang perlembagaan sivil digantung.
DOM memberikan kuasa penuh kepada pihak tentera untuk bertindak. Tiada pertuduhan akan dikenakan pada mana-mana tentera yang menembak mati orang yang disyaki menimbulkan ancaman.
Apa kesannya menyelinap melangkaui Betong tanpa permit khas sebagai wartawan?
Sekiranya ditangkap, hak saya untuk dibicarakan di mahkamah sivil terhapus. Nasib bergantung pada keputusan pemerintah tentera. Masuk ke wilayah DOM tanpa permit petugas berita satu kesalahan serius.
Apa risiko berada di wilayah DOM?
Risikonya benar-benar terjadi pada 3 Disember. Saya dan dua rakan kru Edisi Siasat ditahan dan dituduh menceroboh wilayah DOM. Pihak tentera menahan kami di sekatan jalan raya di Bumbung Lima, Pattani.
Setelah disiasat selama tujuh jam, tentera memutuskan kami bersalah. Tuduhannya masuk tanpa permit kebenaran bertugas sebagai wartawan.
Kami akan dihantar ke penjara tentera di Pattani. Sekiranya ditahan di situ, kami akan dikurung bersama ratusan lagi tahanan Tak Bai.
Apa berlaku setelah ditahan polis?
Kenderaan digelidah dan kami diseret ke balai polis dan diserahkan kepada pihak tentera.
Apa keputusannya?
Kami akan ditahan di kem tentera dan akan dibicarakan di Mahkamah Tentera dalam tempoh tujuh hari.
Apa kata pegawai tinggi tentera?
Komandan di Pattani mengesahkan kami perlu dipenjarakan dan keputusan telah diluluskan Komandan DOM.
Apa akhirnya kisah penahahan ini?
Selepas tujuh jam disoal siasat, saya terus mendesak kami dibebaskan sebagai wartawan. Setelah dua jam berdebat dan saya menggunakan muslihat terakhir, kami pun dibebaskan.
Syaratnya, kami perlu segera meninggalkan Thailand melalui pintu keluar Sempadan Golok dalam tempoh enam jam.
Apa muslihat dan mengapa dibebaskan?
Tentera Thailand gagal membezakan pas wartawan ntv7 dan pas pengenalan Kementerian Penerangan.
Melihat logo jatah harimau pada kad Kementerian Penerangan, saya berjaya mengelirukan pegawai penyiasat Thailand.
“Anda perlu memaklumkan kepada kedutaaan Malaysia. Kami punya pas pengesahan kerajaan,” kata saya.
Setelah menggeledah kenderaan dan gagal menemukan bukti pita rakaman, pihak tentera di Pattani gagal meyakinkan Bangkok bahawa kami menjalankan kerja-kerja kewartawanan tanpa kebenaran di DOM.
Di mana semua pita rakaman sebenar?
Kami merancangnya lebih awal. Lubang petak muat 10 pita rakaman ditebuk belakang penyandar kerusi penumpang hadapan. Bagi mengaburi keadaan, kami tutup dengan kain tenunan yang rapi.
Apakah kami keluar setelah diusir dalam tempoh enam jam?
Tidak. Kami melencong separuh jalanan dan bersembunyi di perkampungan Wadi Ar Rahman berdekatan kubur massa yang mengebumikan 28 mangsa korban Tak Bai.
Kawasan ini antara lokasi panas yang dikawal pos tentera bersenjata berat sepanjang laluan jalanraya. Terdapat satu pos pada jarak antara tiga hingga lima kilometer.
Kawasan Wadi Ar Rahman sangat terkepung. Kubur massa itu mengebumikan 28 mangsa yang terkorban dengan wajah yang hancur akibat pembantaian peluru dan buntut senjata. Semua mayat ini gagal dicam keluarga dan waris. Ini sangat memalukan kerajaan Thailand.
Selain itu, 50 kilometer di sekitar radius kawasan masjid berusia 400 tahun ini, masih berlaku pertempuran bersenjata.
Serangan hendap gerila Islam terhadap konvoi peronda tentera berlaku hampir setiap hari.
Apa kami buat dalam persembunyian?
Ketika siang, kami bersembunyi di dalam rumah orang kampung dan mengatur strategi kerja.
Kami hanya menyusup keluar dan bergerak pada waktu malam. Misi utama ialah mewawancara saksi dan keluarga mangsa tragedi. Kami bergerak penuh hati-hati dari lokasi ke lokasi.
Akhirnya, mata bonus diperolehi. Atas bantuan sulit menggunakan anggota beruniform beragama Islam, kami berjaya mendapatkan rakaman kejadian Tak Bai.
Visual yang membuktikan kejadian huru-hara di Tak Bai dimulakan dengan tembakan rambang tentera. Itu punca sebenar yang mengorbankan 78 mangsa.
Misi Tak Bai jadi berharga kerana rakaman video itu adalah salinan versi asal kemera milik pihak tentera.
Siapa membekalkannya? Itu rahsia.
Apa memori travelog ini?
Laporan 30 Minit Edisi Siasat Tragedi Tak Bai menerima Anugerah Sri Angkasa 2004 kategori Majalah TV Terbaik bernilai RM30,000.
Selebihnya, hingga sekarang, pada tahun-tahun tertentu, saya dan isteri akan mengembara dengan memandu kenderaan merentasi tiga wilayah Islam ini. Kami melawat kubur dan keluarga mangsa Tak Bai.
Sudah pasti saya turut menziarahi mereka yang pernah melindungi saya ketika diburu tentera sewaktu bertugas.
2. Beirut dan Sabra Syatilla dalam Perang Lubnan 2006
Pada 12 Julai hingga 14 Ogos 2006, Israel melancarkan serangan udara di Selatan Lubnan hingga ke Beirut yang mengorban hampir 3,000 nyawa termasuk kanak-kanak.
Sejarah menyebutnya sebagai Perang Israel Hezbollah. Pertempuran ini bermula di Lembah Bekka antara tentera Israel dan pejuang Hezbollah di Selatan Lubnan.
Namun, Israel bertindak agresif dengan melancarkan serangan bom sepanjang siang dan malam selama 34 hari melangkaui hingga ke Beirut.
Selain mengebom petempatan pejuang Hezbollah melalui tembakan bertalu-talu meriam darat ke darat, jet Israel menceroboh 80 kilometer ruang udara Lubnan hingga ke Beirut.
Misi utama Zionis ialah memusnahkan jambatan dan jalan raya yang menjadi laluan utama misi bantuan kemanusiaan.
Pusat perlindungan pelarian dan gudang makanan di Beirut turut dibom. Matlamat Israel ialah melemahkan penduduk Islam Syiah dan pejuang Hezbollah tanpa bantuan makanan dan perubatan.
Apa yang kami saksikan?
Saya bersama hos Wan Kamaruddin Ibrahim dan Dang Suria Zainordin menyelinap masuk sempadan Syria ke Lebanon pada 10 Ogos. Itu minggu terakhir Zionis melancarkan serangan habis-habisan.
Keadaan minggu terakhir perang sangat tegang kerana jet pejuang Israel berlegar di ruang udara di Tyre hingga ke Beirut dan mengebom hampir setiap jam.
Israel mahu memusnahkan seluruh insfrastruktur Lebanon menjelang proses gencatan senjata.
Menyedari Lebanon menerima sokongan kemanusiaan antarabangsa, Zionis melancarkan serangan amaran untuk mengancam misi kemanusiaan.
Tanpa diduga, kami terperangkap di Beirut hingga hilang punca untuk mencari laluan selamat.
Pada siang hari, tiap empat jam sekali, jet pejuang Israel menerobos udara dan mengebom laluan masuk sekitar Beirut.
Kami terpaksa bergerak menggunakan van kecil dan menyusur laluan kampung.
Bunyi dengungan bingit jet pejuang dan dentuman bom 50 kilogram sentiasa menggegarkan tanah dan bangunan. Sepanjang waktu terperangkap, kami bermalam di kawasan petempatan Kristian di Al Hambra.
Langkah ini atas nasihat rakan media BBC warga Mesir. Sebagai wartawan media Barat, rakan kami ini sentiasa mendapat makluman awal mengenai kawasan berpotensi tinggi dibom jet Israel.
Kami bergerak dari kem ke kem pelarian sekitar Beirut untuk merakam visual laporan. Setiap hari kami melihat mayat kanak-kanak dan jambatan berlubang besar dan masih panas besi konkritnya kerana baru dibom.
Pengalaman paling menakutkan terjadi pada 12 Ogos di kem bersejarah Sabra Shatilla. Sebutir bom 50 kilogram digugurkan jet Israel dan meletup berdekatan kawasan kem kontroversi ini.
Pada 1982, tentera Isreal dengan bantuan pejuang Falangis menyerang kem ini dan menembak mati serta menyembelih lebih 3,000 pelarian Palestin dan Tragedi Sabra Syatilla.
Pagi itu, 11 Ogos sekitar jam 11 pagi, letupan bom yang kuat disusuli gegaran yang kuat. Saya berlari ke luar bangunan dengan telinga yang berdengung dan hati kecut gementar.
Saya bersyahadah ketika mendengar bunyi enjin jet pejuang Israel masih berkeliaran di udara.
Tanpa pengalaman di medan perang, gegaran bom pagi itu terasa jaraknya 100 meter dari tempat saya berdiri.
Hakikatnya yang dibom ialah jambatan yang jaraknya empat kilometer dari lokasi penggambaran kami.
Pada malam hari, ketika rundingan gencatan senjata hampir dilaksanakan, bunyi enjin jet-jet pejuang Israel terus memenuhi ruang udara.
Dari balkoni hotel murah di Al-Hambra, kami dapat melihat letusan bom yang meletup dan berapi pada jarak dua atau tiga kilometer sahaja.
Esoknya, ketika keluar meninjau, kami melihat mayat dan kematian.
Apa memori perjalanan travelog ini?
Laporan ini menerima Anugerah Media Pertahanan 2006. Namun, itu bukan kebanggaan. Nilai travelog ini ialah menyaksikan kezaliman Zionisme. Melihat sisi manusia dari mata kemanusiaan yang sebenar.
Ribuan foto kanak-kanak yang menjadi korban akibat runtuhan bangunan tersebar di seluruh dunia. Namun, yang bersuara membela hanya NGO seluruh dunia.
Zionis tidak pernah mempedulikannya.
3. Krisis Kebuluran di Kebrebeya Ramadan 2005
Ahad 2 Oktober 2005, saya memilih untuk ke Somalia. Namun, tiada penerbangan masuk ke Mogadishu kerana wilayah itu disenarai Zon Merah kerana dilanda perang saudara.
Pilihan yang ada hanya ke bandar Addis Ababa, Ethiopia dan terbang ke sempadan Somaliland untuk melawat pelarian Somalia yang menyeberang sempadan menuju Kebrebeya.
Nasib yang malang. Setelah terbang dari Kuala Lumpur ke Doha dan menggunakan khidmat Ethiopian Airlines menuju Addis Ababa, sebaik tiba di lapangan terbang, berlaku cubaan rampasan kuasa.
Lebih malang, kami diacu senjata di muka dan visa kami dipertikai. Tidak sampai dua jam kami dihalau keluar untuk terbang pulang ke Doha.
Tanpa putus asa, di Doha saya memanjat kedutaan Ethiopia; merayu dan memohon visa kali kedua. Aneh, tidak sampai 24 jam, kami dibenar terbang semula menuju Addis Ababa.
Ramadan pertama tiba ketika kami mendarat. Ethiopia masih tegang kerana krisis cubaan rampasan kuasa.
Walaupun memiliki visa baharu, saya dan jurukamera masih dihentak kepala dengan bontot senapang tentera.
Kami dimaki kerana masuk semula walaupun setelah dihalau keluar 48 jam sebelumnya. Akhirnya, pihak imigresen membenarkan kami masuk dengan syarat tidak berada di Addis Ababa.
Alasannya, keadaan berbahaya untuk warga asing kerana suasana masih tegang akibat krisis cubaan rampasan kuasa.
Pendek cerita, esoknya kami tinggalkan Addis Ababa dan terbang ke pekan kecil di sempadan Somaliland.
Fokus liputan ialah merakaman krisis kebuluran di Kebrebeya sejak lebih sedekad. Terdapat lebih 200,000 pelarian Somalia.
Apa tragiknya berada di Kebrebeya?
Tanpa banyak pilihan kerana tiba lewat petang dan waktu sangat suntuk, saya membeli jagung rebus untuk simpanan bersahur.
Akibat terlalu letih, saya terjaga esok hari dengan langit pagi yang sudah cerah.
Ramadan pertama di Ethiopia hancur. Kelaparan dan terlupa bersahur serta terlupa niat puasa membuatkan saya memamah jagung.
Aduh. Jagungnya tawar dan butirnya terasa keras. Saya lempar jagung ke bakul sampah tetapi melantun ke balkoni tingkat empat lalu jatuh ke bawah.
Hanya beberapa saat, saya mendengar suara keriuhan. Bunyi orang bergaduh. Saya berlari ke balkoni dan nampak dengan jelas satu kejadian yang membunuh perasaan hingga hari ini.
Seorang budak perempuan berusia sekitar 10 tahun dengan tubuh yang kurus dan gaun yang lusuh, memeluk erat jagung yang dikutipnya.
Sekumpulan budak lelaki membantainya bertubi-tubi. Saya yakin, ini pergaduhan merebut makanan kerana kanak-kanak kelaparan.
Sangat ironi kerana tragedi ini terjadi pagi 1 Ramadan.
Saya berlari turun dan cuba menyuraikan keadaan. Setelah berteriak dan gagal meleraikan pembantaian, umpan penyelesaian yang mudah ialah menunjukkan wang.
Kanak-kanak lelaki meluru ke arah saya setelah melihat wang. Gadis kecil itu ditinggalkan sendirian; berdiri di tepi jalan dengan bibir pecah berdarah. Kedua-dua tangannya memegang erat sisa jagung dalam pelukan.
Ini derita emosi yang saya tanggung hingga hari ini. 11 tahun lamanya, hingga saya berdoa di depan Kaabah mohon diluputkan kenangan sedih itu. Namun, Allah mengizinkannya untuk terus mengejar saya hingga saat ini.
Saya ingin menulis travelog perjalanan begini. Serta puluhan lagi kisah pelbagai krisis peristiwa yang dilalui di lebih 20 negara yang berdepan pelbagai tragedi.
Tiada niat apa; kecuali melengkap genre buku yang belum pernah ditulis. Sekali gus cuba menvariasikan genre travelog tempatan.
Saya mahu meneroka idea baharu genre travelog. Paling tidak menjadikan travelog bukan lagi genre yang penuh dengan “foto posing-posing dengan cerita syoknya bergaya di seluruh dunia”.
Ingat! Saya tidak menyindir sesiapa. Saya cuma ingin menambah kriteria. Travelog harus ada indikasi membawa cerita kisah suka duka manusia dan tidak mati dengan foto-foto glamor penulisnya…. – 20 Oktober, 2019.
* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen