BANYAK perniagaan mengalami kerugian sehingga jutaan ringgit untuk memiliki perisian cukai yang akhirnya tidak diguna pakai ekoran pemansuhan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).
Setiap perniagaan dipaksa menggunakan perisian cukai itu apabila kerajaan terdahulu di bawah Barisan Nasional (BN) melaksanakan GST pada 2015.
Namun GST kemudiannya dimansuhkan dan digantikan dengan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) oleh kerajaan Pakatan Harapan pada tahun lalu.
Pakar cukai Koong Lin Loong berkata syarikat besar perlu membelanjakan dari RM100,000 hingga RM1 juta bagi mendapatkan perisian cukai baharu itu manakalan syarikat kecil mengeluarkan kos antara RM8,000 dan RM10,000 bagi mendapatkan perisian sama.
Pihak bank pula membelanjakan sehingga RM10 juta bagi menaiktaraf perisian dan sistem mereka sebagai persediaan pelaksanaan GST.
Koong berkata kos yang ditanggung bank lebih tinggi kerana mereka mempunyai banyak cawangan di seluruh negara dan perkhidmatan yang disediakan dalam talian juga tertakluk kepada GST.

“Apabila GST dilaksanakan, perniagaan sangat tertekan disebabkan kerumitan cukai itu. Ada barangan dikecualikan, cukai input dan cukai ouput.
“Sesetengah perniagaan terutamanya perniagaan kecil, tidak pernah menggunakan sistem ini dan mereka bimbang dikenakan denda jika melakukan kesilapan,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Walaupun kerajaan ketika itu berkata proses menaiktaraf perisian itu hanya menelan kos RM800, kos itu meningkat sehingga RM10,000 dan melebihi kemampuan banyak perniagaan kecil.
Presiden Persatuan Peniaga Kecil dan Sederhana (SME) Malaysia Michael Kang berkata syarikat perniagaan terpaksa menyenaraikan perisian cukai yang mahal itu sebagai aset mereka bagi mengekalkan harganya.
“Bagi perniagaan kecil, mereka hanya mengeluarkan kos ribuan ringgit bagi menukar perisian, tetapi syarikat besar perlu berbelanja sehingga jutaan ringgit.
“Ini termasuk mereka bentuk perisian, mengasingkan barangan dan lain-lain,” katanya.
Beliau bagaimanapun berkata syarikat terbabit masih boleh menggunakan perisian itu jika mereka sanggup mengeluarkan belanja untuk memodifikasi sistem tersebut.
Menariknya, kata beliau, kebanyakan perniagaan menyimpan perisian cukai GST kerana mereka bimbang kerajaan akan menukar sistem cukai sekali lagi.

“Saya fikir mereka (perniagaan) menyimpannya walaupun ia tidak digunakan pada masa ini.
“ini kerana kebanyakan SME bimbang kerajaan mungkin menukar fikiran dan jika berlaku pertukaran, mereka tidak perlu berbelanja untuk perisian cukai,” kata Kang.
Presiden Persekutuan Persatuan Peniaga-peniaga Barang-barang Runcit Malaysia Hong Chee Meng berkata tindakan peniaga yang kurang berkemampuan membeli sistem perisian cukai GST murah menyebabkan mereka sering menjadi mangsa pihak yang mengambil kesempatan.
Kebanyakan mereka mendapati perisian itu memerlukan pembelian tambahan untuk berfungsi.
Katanya terdapat banyak versi berbeza perisian GST dalam pasaran apabila sistem cukai itu mula dilaksanakan.
Hong berkata apabila sistem jualan baharu dilaksanakan, kebanyakan peniaga barangan runcit tidak tahu menggunakannya.
Beliau berkata mereka terpaksa mengupah pekerja separuh masa bagi menggunakan untuk mereka dengan kos sehingga RM200 untuk memproses akaun mereka. – 20 Oktober, 2019.
Komen