Tiga lelaki dicekup, geng Ah Fong tumpas


POLIS Sarawak berjaya menumpaskan ‘Geng Ah Fong’ yang disyaki terlibat dengan 40 kes pecah rumah dan 30 kes kecurian kenderaan di sekitar daerah Kuching, Padawan dan Kota Samarahan, susulan penahanan tiga lelaki Selasa lepas.

Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Awang Din Awang Gani berkata ketua kumpulan itu yang dikenali sebagai Chen Bong Fong atau Ah Fong, bersama dua anggota kumpulan berkenaan ditahan dalam operasi bersepadu yang dilancarkan awal minggu ini.

“Semua anggota kumpulan ini merupakan penjenayah tegar, penagih dadah selain terlibat dengan kegiatan menyeludup kereta curi ke negara jiran (Indonesia),” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Beliau berkata ketiga-tiga suspek yang berumur antara 20 dan 40 tahun disiasat di bawah Akta Pencegahan Jenayah (Poca) 1959, dan menurutnya sepanjang operasi itu juga, polis turut merampas tujuh kenderaan serta beberapa peralatan yang digunakan untuk mencuri.

Awang Din berkata sepanjang tahun ini sehingga 16 Okt lepas, indeks jenayah di daerah Kuching mencatatkan 1,033 kes, jumlah yang menampakkan penurunan berbanding 1,049 kes dalam tempoh yang sama tahun lepas. – Bernama, 19 Oktober, 2019. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen