UNIVERSITI Malaya perlu melaksanakan kata-kata mereka dengan menarik semula laporan polis yang dibuat terhadapnya, kata aktivis pelajar, Wong Kan Ye, jika institusi pengajian tinggi itu mempercayai kebebasan bersuara.
Lulusan Kejuruteraan Awam, Wong berkata lembaga pengarah UM tidak jujur ketika mengulas bahawa pihak universiti tidak menahan sijil tamat pengajian pelajar.
“Dalam satu kenyataan yang dibuat hari ini, universiti itu berkata mereka menegakkan dan menghormati kebebasan bersuara, jika mereka betul-betul percaya kebebasan bersuara, satu perkara yang perlu dilakukan ialah menarik balik laporan polis yang dibuat terhadap saya. Bukan sekadar keluarkan kenyataan,
“Kedua, dalam isu skrol dan transkrip saya, saya mula-mula meminta agar ia diserahkan kepada saya pada Rabu lepas tetapi permintaan saya dinafikan, saya hanya menerima sijil hari ini, jadi, berterus-terang sahaja. Beritahu perkara sebenar,” Kata Wong kepada The Malaysian Insight.
Ditanya sama ada dia akan bertemu dengan Naib Canselor Abdul Rahim Hashim untuk berdamai, Wong berkata bahawa tidak ada halangan untuk Rahim bertemu dengannya.
“Sekiranya dia dapat berjumpa dengan pelajar yang menyokongnya, maka tidak ada alasan baginya untuk tidak bertemu dengan saya. Dia seharusnya menjadi Naib Canselor untuk semua bukan sekadar kumpulan pelajar tertentu,” katanya.
Terdahulu, pengerusi lembaga Universiti Tengku Dr Mohd Azzman Shariffadeen Tengku Ibrahim berkata graduan kejuruteraan awam itu boleh mengambil transkrip sijilnya dari universiti pada bila-bila masa.
“Dia juga boleh mengakses dan mencetak skrolnya di laman web universiti dari 21 Oktober,” kata Azzman dalam satu kenyataan hari ini.
Kenyataan tersebut adalah maklum balas UM terhadap gesaan untuk menggantung sijil atau transkrip pengajian Wong berikutan tindakan protes solo sewaktu majlis konvokesyen pada hari Isnin.
Wong menuntuk Naib Canselor Universiti Malaya Abdul Rahim Hashim meletak jawatan dengan menjunjung plakad ketika berada di atas pentas untuk menerima skrol sijil, berikutan ucapan yang disifatkn sebagai perkauman oleh naib canselor itu di Kongres Maruah Melayu.
Universiti tersebut yang merupakan salah satu daripada penganjur acara kontroversi tersebut, membuat laporan polis terhadap Wong, mendakwa dia tidak menghormati protokol dan mengganggu majlis.
Wong bagaimanapun menafikan tuduhan tersebut dengan mengatakan bahawa beliau hanya menunjukkan bantahan terhadap perkauman.
Di perhimpunan Kongres Maruah Melayu, Rahim didakwa berkata dalam ucapannya bahawa perubahan kerajaan selepas pilihan raya umum telah memusnahkan dominasi politik Melayu di samping keistimewaan orang Melayu kini dipersoalkan oleh komuniti lain.
Beliau didakwa memberi amaran kepada masyarakat bukan Melayu untuk tidak mencabar kontrak sosial dengan orang Melayu. – 19 Oktober, 2019.
Komen