SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata 10% daripada 80 individu dan entiti yang dipercayai menerima dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bersetuju untuk membayar kompaun selepas menerima notis pada 7 Oktober lalu.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Azam Baki berkata daripada 10% itu ada yang menyatakan niat untuk membayar secara ansuran dan ia akan dibincangkan kemudian.
“Sementara 40% lagi akan mengambil tindakan mahkamah, 45% menghantar surat untuk membuat rayuan manakala tiga individu tidak mahu terima notis kompaun tetapi kami tetap memberikan notis itu.
“Jadi kami sudah mengeluarkan notis kompaun secara 100%,” katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.
Azam berkata jumlah kutipan daripada 80 individu dan entiti itu akan diumumkan kemudian.
Ditanya kenyataan Ahli Parlimen Pontian Ahmad Maslan yang mempertikaikan cara pengiraan, Azam berkata SPRM mengikut undang-undang mengikut Seksyen 92(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA 2001).
“Kalau ada pihak yang mempertikaikan tentang cara pengiraan, itu terpulang. SPRM hanya mengikut undang-undang dan tidak ada silap pengiraan di sini,” katanya.
Awal bulan ini, SPRM mengeluarkan notis kompaun ke atas adik Najib Razak serta bekas menteri dan timbalan menteri Barisan Nasional (BN) untuk mendapatkan semula duit 1MDB yang mereka terima daripada bekas perdana menteri.
Bekas pengerusi Kumpulan CIMB Nazir Razak antara 80 pihak yang dikeluarkan kompaun oleh agensi anti rasuah itu, bersama Ahmad yang juga bekas timbalan menteri kewangan dan bekas pengerusi Felda Shahrir Samad.
Notis kompaun itu melibatkan tuntutan ke atas dana keseluruhan berjumlah RM420 juta yang mereka terima dalam bentuk cek dari akaun bank Najib, kata Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya.
Notis dikeluarkan mengikut Seksyen 92(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA),
Dalam tindakan kali ini, antara pihak yang dikenakan kompaun ialah agensi kerajaan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM), anak syarikat milik penuh Kementerian Kewangan yang dikendalikan oleh Kementerian Pendidikan.
SPRM juga menuntut balik duit 1MDB daripada agensi media dan komunikasi Cense Media Sdn Bhd dan Salt Media Consultancy Sdn Bhd, penerbit buku kartun Transformasi Najib, Qalif Umar Creative dan 19 syarikat lain.
Antara individu yang juga dikenakan kompaun ialah bekas setiausaha politik kepada Najib, Mohamad Fatmi Che Salleh; bekas ketua Bahagian Umno Pasir Mas Hanafi Mamat dan pemaju hartanah Lim Soon Peng.
Baki penerima kompaun ialah 43 pertubuhan politik BN, Umno, MCA, MIC, Parti Rakyat Sarawak, Gerakan dan PPP, serta empat pusat khidmat kawasan Parlimen dan lima yayasan dan badan lain.
Jun lalu, SPRM membuat permohonan melucut hak di bawah akta sama terhadap 41 pihak bagi keseluruhan wang berjumlah lebih RM270 juta yang dipindahkan dari akaun Najib. – 18 Oktober, 2019.
Komen