RENTETAN masalah semakin ramai graduan universiti yang menganggur, institut latihan vokasional kini tidak lagi berdepan stigma masyarakat yang sebelum ini menganggapnya sebagai “jalan keluar” bagi pelajar kurang cemerlang.
Norhazwa Abu Bakar, 45, mengambil keputusan menghantar anaknya, Wan Nur Mellisa Meor Idris ke kolej kemahiran. Meskipun ramai yang menganggap ia untuk pelajar tercicir, dia yakin institusi itu mampu memberi pengalaman sebenar kepada pelajar untuk lebih bersedia menghadapi dunia pekerjaan.
Ini kerana kolej kemahiran lebih menitikberatkan praktikal berbanding teori kerana ia setiap jurusan yang diambil akan melibatkan 70% praktikal dan 30% teori.
“Sesetengah budak bukan jenis bagus dalam belajar yang memerlukannya membaca tetapi dia mungkin meminati sesuatu dan lebih cemerlang dari segi itu. Bagi saya, tiada istilah bodoh sebenarnya,” kata Azwa kepada The Malaysian Insight.
Melihat anaknya yang mempunyai kecenderungan kepada seni dan lukisan, Azwa tidak memaksa melanjutkan pelajaran ke peringkat diploma di universiti. Mellisa dihantar ke Giatmara dalam bidang animasi (sijil) dan kemudian menyambung pengajian dalam Diploma Media Digital di Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM) selama tiga tahun.
“Biar bermula dari bawah, dari peringkat sijil dulu. Lepas itu baru boleh pergi ke peringkat seterusnya,” katanya.
Bagaimanapun, Hazwa berkata bagi yang meminati bidang guaman, perubatan, sumber manusia, pengajian di universiti lebih bersesuaian.
Menurut Menteri Pengajian Tinggi Idris Jusoh, seramai 54,103 daripada 238,187 siswazah universiti menganggur dalam tempoh enam bulan selepas mereka menamatkan pengajian masing-masing pada tahun lepas.
Ia susulan soalan senator Ng Chiang Chin di Dewan Negara pada April lalu yang ingin tahu mengenai kadar pengangguran di kalangan siswazah universiti, antara bidang yang mempunyai kadar pengangguran paling tinggi ialah pendaftaran perniagaan, sains gunaan, pengurusan sumber manusia, perakaunan, sastera dan sains sosial.
Jumlah tersebut digabungkan bersama institutsi pengajian tinggi dari universiti awam dan kolej swasta.
Persepsi orang sekeliling
Mellisa, 22, yang kini menjadi pereka grafik di sebuah syarikat pengiklanan mengakui berdepan persepsi rakan-rakannya yang pada awalnya mempersoalkan pilihan menyambung pelajaran di kolej kemahiran berbanding universiti biasa, selepas tamat persekolahan.
Bagi mereka, kolej kemahiran adalah untuk mereka yang ketinggalan dalam pelajaran.
“Orang selalu ingat masuk kolej kemahiran ini bodoh. Selepas SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) kawan-kawan saya ada yang bertanya kenapa nak masuk Giatmara.
“Keputusan SPM saya bukanlah teruk sangat. Saya dalam kalangan budak yang biasa dan saya pernah mohon belajar di UiTM (Universiti Teknologi Mara) tetapi gagal. Memang saya kecewa ketika itu tetapi emak tolong cari alternatif untuk saya sambung dalam apa yang saya minat,” katanya.
Mellisa merupakan pelajar kelas akaun dan mengambil subjek lukisan sebagai subjek tambahan dan memperolehi 2 A, 3B dan 3C dalam keputusan SPM.
“Bagaimanapun, saya bersyukur mungkin sebab masuk kolej kemahiranlah saya tidak perlu menganggur. Tiga hari selepas tamat praktikal, saya dapat tawaran kerja daripada syarikat pengiklanan (bukan di tempat praktikal) dengan gaji lepasan ijazah,” katanya.
Menurut Mellisa, kemampuannya melakukan pelbagai jenis grafik yang diminta dan hanya memerlukan tunjuk ajar minimum menyebabkan dia mendapat gaji setara lepasan ijazah.

Kisah sama yang dikongsi oleh mekanik Raja Mohd Shafie Raja Kumaridin, 24, yang menyambung pelajarannya selepas SPM di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) dalam bidang automotif kenderaan bermotor.
Raja Shafie menuntut di sana selama tiga tahun. Dia mengambil sijil dalam bidang automotif selama dua tahun dan sijil motor sport selama lapan bulan.
Jika Mellisa perlu menghadapi persepsi rakan-rakannya, Raja Shafie pula terpaksa berdepan dengan ibu bapanya yang kurang bersetuju dengan keputusan belajar di peringkat sijil.
“Saya pernah memohon belajar di UiTM, tapi saya pilih nak sambung kat IKBN. Ibu bapa saya pernah cakap, fikir betul-betul dulu, takut nanti menyesal.
“Saya memang tidak menyesal apabila tengok kawan-kawan menganggur rasa tak rugi ambil (kemahiran).
“Dalam masa lapan tahun akan datang saya fikir nak buka bengkel sendiri. Tapi sekarang banyak lagi benda saya nak belajar,” katanya.
Dia berkata ada juga rakannya di IKBN yang kini membuka bengkel kenderaan sendiri dan ada juga yang melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah dan menjadi guru.
Tidak terbeban dengan hutang
Apa yang dihadapi oleh majoriti graduan hari ini adalah mereka terpaksa menanggung hutang berbelas sehingga puluhan ribu sejurus selepas menamatkan pengajian di universiti, meskipun belum mendapatkan pekerjaan.
Apa yang lebih menyedihkan apabila kebanyakan majikan lebih mengutamakan mereka yang sudah mempunyai pengalaman bekerja – sekurang-kurangnya satu tahun pengalaman. Ini realiti pahit yang perlu dihadapi oleh graduan kita hari ini.
Menyedari masalah sebegini, Mellisa dan Raja Shafie enggan terpalit dengan dilema yang dihadapi graduan kini, lantas memilih untuk menumpukan kepada bidang kemahiran berdasarkan bidang yang mereka minati.
“Saya fikir kalau sambung UiTM mungkin pakai banyak duit, nak pinjam PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi). Tapi kalau di IKBN yuran keseluruhan tidak sampai RM1,000 dan dapat elaun bulanan dalam RM200,” kata Raja Shafie.
Hazwa pula berkata, dia tidak sanggup melihat anak-anaknya dikelilingi hutang untuk menyambung pelajarannya.
“Jadi kita cari alternatif lain. Saya sanggup hantar anak saya belajar kemahiran dan sentiasa beri sokongan kepada apa yang mereka minat,” katanya.
Antara 2011 hingga 2015, kerugian terkumpul PTPTN mencapai RM6.5 bilion. Pada 2015, hutang PTPTN yang tidak berbayar bagi tahun itu mencapai RM8.49 bilion. Kadar pembayaran semula sekadar 46.6%
Bagi mengatasi masalah ini, PTPTN menggunakan beberapa langkah termasuk menyenaraikan peminjam di bawah Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS).
Ini menyebabkan mereka yang tidak membuat bayaran dihalang daripada membuat pinjaman rumah atau kereta, menyenaraihitamkan pasport mereka yang gagal membayar, menghentikan pemberian pinjaman penuh dan menggalakkan pengeluaran simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akaun kedua bagi salah satu penyelesaian melangsaikan hutang tersebut.
Ibu bapa, sekolah perlu beri pendedahan
“Saya tidak mempunyai anak yang ramai, jadi saya perlu beri sepenuh perhatian kepada mereka,” kata Hazwa.
Menurutnya, dia beruntung kerana mempunyai kawan-kawan yang boleh memberikan pendapat apa alternatif selain ke universiti, tetapi baginya, pihak sekolah juga perlu memberikan pendedahan awal kepada pelajar.
Hazwa berkata pihak sekolah tidak sewajarnya sekiranya seseorang pelajar itu tidak berjaya dalam bidang akademik, mereka dilihat seperti tiada masa depan yang cerah utnuk pergi jauh.
Malah katanya, mereka sebenarnya mempunyai minat tersendiri dan mungkin tidak tahu “jalan” untuk menyambung minatnya itu.
“Saya faham sekolah ada KPI (Petunjuk Prestasi Utama) mereka. Mereka nak pelajar cemerlang. Tapi sekolah patut tunjuk kalau keputusan SPM pelajar macam ni ke apa, apa patut mereka buat.
“Saya sekurang-kurangnya celik juga tentang perkara ni semua. Tapi macam ibu bapa yang duduk di kampung macam mana? Tak ada pendedahan. Anak mereka mungkin minat animasi tetapi tak diajar di sekolah.
“Saya kasihan pada budak lepasan SPM yang tidak tahu arah tuju mereka ke mana,” katanya.
Tambahnya, ibu bapa juga tidak sepatutnya memaksa anak menyambung pelajaran dalam bidang yang tidak diminati.
“Jangan sebab nak jaga maruah mak bapa sampai anak penat belajar dan akhirnya tak minat dalam kerja mereka,” katanya.
Pada April lalu, Idris dilaporkan berkata, kebolehpasaran lulusan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) lebih tinggi berbanding lulusan institut pendidikan tinggi yang memilih bidang akademik.
Beliau berkata, berdasarkan statistik tahun lepas, perkembangan kebolehpasaran lulusan TVET adalah antara 7% hingga 8% setahun mengatasi perkembangan aliran akademik, iaitu hanya 2% hingga 3% sahaja. – 19 Oktober, 2017.
Komen
Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan